
Para pengunjung tidak melepaskan peluang untuk melihat pelbagai produk kraftangan di Mini Karnival Kraf 2018.
Johor Bahru, 28 Januari – Orang ramai dijemput hadir bagi memeriahkan Mini Karnival Kraf yang dianjurkan bermula 26 hingga 31 Januari ini bertempat di ruang legar Plaza Larkin, Johor Bahru.
Menurut Pengarah MARA Negeri Johor, Nor Hashimi Mahat, mini karnival ini mengetengahkan pelbagai produk kraf oleh usahawan MARA, Kraftangan Malaysia, Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) serta Jabatan Penjara Negeri Johor.
“Orang ramai dijemput hadir kerana pelbagai barangan kraf yang unik boleh didapati di mini karnival ini seperti produk perabot kayu, pertukangan besi dan kayu, produk kebudayaan serta produk berasaskan fabrik dan rotan,” katanya.
Jelasnya lagi, pelbagai pengisian lain turut diadakan seperti pertandingan mewarna kanak-kanak serta demontrasi pembuatan kompang dan gelang manik.
Di samping itu, MARA JDT Open Day turut diadakan pada hari ini yang merupakan platform penyaluran kemudahan khidmat nasihat kemudahan MARA secara langsung kepada orang awam.