Pusat tahfiz di Perlis patuhi syarat keselamatan

>PENGARAH Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Perlis, PgKB1 Mohd Fadzil Haroon, (dua dari kanan) memeriksa perbarisan ketika Majlis Perhimpunan Tahunan bagi Tahun 2018 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia di Ibu Pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Perlis.- Foto Azhar Ramli

KANGAR: Semua pusat tahfiz di negeri ini disahkan mematuhi kriteria keselamatan ditetapkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), termasuk enam yang baru dinaik taraf.

Pengarah JBPM Perlis, Mohd Fadzil Haroon, berkata enam pusat tahfiz itu diselenggara dengan bantuan GiatMARA untuk menepati piawaian keselamatan, manakala sembilan lagi akan diselesaikan dalam tempoh terdekat.

“Pusat tahfiz di Perlis berada dalam keadaan yang cukup baik dengan semuanya adalah bangunan konkrit dan bukannya kayu, maka risiko berlaku kebakaran itu kecil.

“Berdasarkan pemantauan sebelum kerja penyelenggaraan dilakukan GiatMARA, semuanya berada dalam keadaan memuaskan kerana semua premis terbabit berdaftar dengan Jabatan Agama Islam Negeri Perlis (JAIPs),” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perbarisan Tahunan 2018 JBPM peringkat Perlis di Ibu Pejabat Bomba dan Penyelamat Perlis di sini, hari ini.

Mohd Fadzil berkata, antara penambahbaikan dilakukan di pusat tahfiz di negeri itu adalah penambahan pengesan haba dan asap serta alat pemadam api, selain mewujudkan laluan kecemasan.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata statistik panggilan kecemasan tahun lalu diperoleh pihaknya menunjukkan penurunan hampir 50 peratus.

“Kita hanya menerima 765 panggilan pada 2017 berbanding 1,459 pada 2016, iaitu penurunan sebanyak 694 panggilan.

“Rekod panggilan kebakaran menunjukkan penurunan daripada 1,087 kepada 383. Penurunan ini susulan kurangnya panggilan mengenai pembakaran jerami tahun lalu akibat faktor cuaca.

“Berbanding rekod panggilan penyelamat, ia meningkat daripada 365 kepada 377 panggilan. Peningkatan ini disebabkan aktiviti yang semakin banyak seperti memanjat gunung dan sebagainya,” katanya.

Sumber : https://www.bharian.com.my/berita/wilayah/2018/01/379401/pusat-tahfiz-di-perlis-patuhi-syarat-keselamatan

This entry was posted in Pendidikan and tagged . Bookmark the permalink.