Pelajar IPMa Digesa Berinovasi

YBhg. Dato’ Awang Adek bin Hussin, Pengerusi MARA beramah
mesra bersama pelajar KKTM Pasir Mas

Zuraini
@media.mara.gov.my

Pasir Mas, 18 Januari – Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) Dato’ Dr. Awang Adek bin Hussin menasihati agar para pelajar MARA terutamanya di bawah Institusi Pendidikan MARA (IPMa) menerokai pelbagai ilmu baru sama ada ilmu dunia, akhirat, kemahiran, teknikal dan sebagainya sebagai satu senjata yang ampuh bagi menghadapi pelbagai cabaran mendatang.

Beliau turut berkata pelajar perlu bersedia untuk berinovasi dan berusaha untuk melangkaui sempadan kecemerlangan, begitu antara butiran ucapan Awang Adek semasa merasmikan Majlis Kecemerlangan Pelajar KKTM Pasir Mas Sesi Julai-Disember 2017 di sini hari ini

“Kepimpinan merupakan salah satu kriteria yang diperlukan dalam membangunkan sesebuah organisasi dan kebiasannya ianya dikatakan berkesan apabila mampu membawa perubahan terutamanya perubahan ke arah kecemerlangan” tambahnya.

Menurutnya lagi, walaupun perubahan itu kecil tetapi jika dilaksanakan dengan penuh komitmen dan penghayatan yang tinggi pasti ianya membawa impak yang positif dan inilah yang telah dibuktikan oleh pihak KKTM Pasir Mas dalam merealisasikan Pelan Strategik MARA 2016 – 2020.

“Seharusnya juga kita sebagai tenaga penggerak MARA memperkukuhkan lagi modal insan dalaman MARA di setiap jentera pentadbiran MARA dalam mengangkat agenda negara melalui pendidikan” katanya.

Majlis tersebut meraikan seramai 119 orang pelajar yang telah memperolehi GPA 3.5 ke atas dalam pelbagai bidang kursus. KKTM yang telah ditubuhkan sejak tahun 2000 bermula dengan pengambilan pertamanya seramai 100 orang pelajar itu kini telah mencecah seramai hampir 3,000 orang pelajar yang telah bergraduasi.

Sementara itu, KKTM Pasir Mas merupakan institusi pertama yang menawarkan jurusan di peringkat Diploma Teknologi dengan kerjasama Universiti Teknologi Malaysia (UTM). IPMa yang menggunakan perbelanjaan Rancangan Malaysia Ketujuh (RMK-7) itu menawarkan pelbagai kursus Diploma iaitu Teknologi Kejuruteraan Elektrik (Kuasa), Teknologi Kejuruteraan (Industri), Teknologi Kejuruteraan Elektrik (Domestik & Industri), Teknologi Kejuteraan Mekanikal Rekabentuk, Senibina dan Teknologi Kejuruteraan Bangunan.

Tahun lalu, KKTM Pasir Mas telah mencapai pelbagai kejayaan termasuklah berjaya merangkul 2 emas, 1 perak dan 5 gangsa dalam pertandingan CITEX, 4 emas dan 3 perak dalam pertandingan National Innovation and Invention Competition Through Exhibition (ICOMPEX).

KKTM tersebut turut memperolehi Gold Award and Silver Award bagi pertandingan International UTM Bridge (i-BRIDGE) di samping berjaya memenangi beberapa lagi kategori untuk pertandingan i-BRIDGE bagi kategori Creativity & Buildability (University), kategori Multimedia & Poster (University) dan banyak lagi.

This entry was posted in Pendidikan and tagged . Bookmark the permalink.