
Ismail Sabri Yaakob menunjukkan baju logo Bless di gerai IKM sempena Program Building Leaders and Entrepreneurs Society (BLESS) di perkarangan Hotel Alora Alor Setar di sini , hari ini. UTUSAN/ismail Kamadin
ALOR SETAR 23 Jan. – Majlis Amanah Rakyat (MARA) yakin penganjuran program Pembangunan Komuniti Usahawan atau Building Leaders and Entrepreneurial Society (Bless) mampu memberi manfaat kepada kira-kira 10,000 usahawan dan bakal peniaga di negara ini.
Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Bless adalah program yang memaparkan ekosistem keusahawanan lengkap merangkumi pembangunan usahawan, perniagaan dan sokongan modal.
“Ekspo yang berlangsung selama dua hari ini memaparkan ekosistem keusahawanan yang lengkap di bawah Mara. Peserta boleh mengikuti kursus dan latihan keusahawanan, pembangunan serta sokongan perniagaan dengan ditunjang modal insan yang ditawarkan institusi pendidikan Mara.
“Selepas mengikuti seminar keusahawanan, peserta boleh melihat kemudahan yang ditawarkan Mara termasuk soal modal mahupun pembangunan penjenamaan bagi membolehkan mereka menjadi usahawan,” katanya selepas melakukan ‘walkabout’ program Bless Zon Utara 2018 di sini hari ini.
Kedah menjadi tuan rumah untuk penganjuran program Bless yang julung-julung kali dianjurkan dengan membabitkan kira-kira 1,500 usahawan dan bakal usahawan dari negeri ini, Perlis, Pulau Pinang dan Perak.
Selain zon utara, Bless juga akan dianjurkan di zon tengah, selatan, timur dan Sabah serta Sarawak.
Ismail Sabri memberitahu, Mara menerima peruntukan sebanyak RM455 juta daripada kerajaan pada tahun ini bagi membantu pembangunan usahawan menerusi 12 skim pinjaman yang ditawarkan antaranya skim pembiayaan kontrak ekspres (Spike), pembiayaan mudah jaya, program rantaian nilai industri dan The Baron.
“Pada masa ini, terdapat 62,000 peminjam Mara. Menerusi program Bless ini akan mempermudahkan lagi usahawan mahupun bakal usahawan untuk membuat pinjaman.
“Selain itu, orang ramai juga boleh mendapatkan maklumat mengenai peluang pendidikan yang ditawarkan di institusi-institusi di bawah Mara,” ujarnya.
Sumber : http://m.utusan.com.my/berita/nasional/mara-sasar-10-000-usahawan-sertai-program-bless-1.595911