772 Pelajar Johor Diterima Masuk Ke Tingkatan Satu MRSM 2018

Majlis meraikan pelajar baharu Tingkatan Satu MRSM 2018 yang diadakan di beberapa kawasan parlimen Negeri Johor.

Seramai 772 pelajar dari negeri Johor ditawarkan tempat ke Tingkatan Satu bagi kemasukan Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) 2018.

MRSM terus mengutamakan kemasukan pelajar dari golongan kurang berkemampuan memandangkan pendidikan berkualiti yang diterima di institusi ini mampu diterjemahkan kepada peningkatan kehidupan yang lebih sempurna kepada keluarga mereka.

Beberapa majlis  di peringkat parlimen Negeri Johor turut diadakan dalam meraikan para pelajar yang berjaya melanjutkan pengajian peringkat menengah di institusi kebanggaan Bumiputera ini.

Di Johor Bahru, Ketua Penerangan UMNO Negeri Johor merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri Tanjung Puteri, Haji Adam Samiru telah hadir ke majlis meraikan 205 pelajar baharu MRSM kawasan berkenaan di Dewan Serbaguna Kampung Dato’ Sulaiman Menteri.

Beliau turut menyatakan para pelajar hendaklah bersyukur kerana telah terpilih masuk ke MRSM kerana dalam ribuan permohonan yang memohon, anda adalah salah seorang yang berjaya diterima.

Di Kota Tinggi, Ahli Dewan Negeri Pasir Raja, Datuk Dr. Adham Baba telah menyampaikan sijil tahniah dan bantuan persekolahan kepada 25 orang pelajar yang diterima masuk ke Tingkatan Satu MRSM 2018 bertempat di Pejabat Parlimen Bandar Tenggara.

Menurut beliau, para pelajar yang berjaya ini perlu mengambil peluang untuk memaksimumkan potensi diri memandangkan MRSM telah terbukti memainkan peranan yang cukup signifikan melahirkan pelajar Bumiputera yang cemerlang dalam bidang sains dan matematik.

Di Pontian, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Kemajuan Luar Bandar Dan Wilayah Negeri Johor, Datuk Ir. Haji Hasni Haji Mohammad  hadir menyampaikan sijil tahniah dan juga sumbangan persekolahan kepada 31 pelajar yang berjaya ke Tingkatan Satu MRSM di Dewan UMNO Bahagian Pontian.

“Saya berharap para pelajar akan keluar sebagai insan yang cemerlang bukan sahaja dalam bidang akademik malah mempunyai sahsiah peribadi yang tinggi serta berupaya menyumbang kembali kepada penduduk setempat satu hari nanti,” katanya.

Di Segamat, seramai 14 orang pelajar telah diraikan di samping menerima bantuan wang ringgit bagi kegunaan kemasukan ke Tingkatan Satu MRSM 2018 bertempat di Pejabat UMNO Bahagian Sekijang.

Majlis telah disempurnakan oleh Ketua UMNO Bahagian Sekijang, Datuk Baharom Mohamed.

 

This entry was posted in Pendidikan. Bookmark the permalink.