KEMASUKAN MRSM 2018: GOLONGAN BERPENDAPATAN RENDAH DIUTAMAKAN

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob bersama pelajar-pelajar baharu MRSM 2018.

oleh Nor Waheeda Ramzan Mohd Noor
media@mara.gov.my

Bera, 21 Januari – MARA terus mengutamakan golongan berpendapatan rendah (B40) dan keluarga berpendapatan sederhana (M40) serta mereka dari kawasan luar bandar bagi kemasukan ke Tingkatan Satu (1) dan Tingkatan Empat (4) Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) 2018.

Menurut Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob, golongan ini terus diberi perhatian memandangkan anak-anak yang ditawar untuk melanjutkan pengajian di MRSM ini mampu membawa mereka keluar daripada kehidupan biasa kepada kehidupan yang lebih baik pada masa hadapan melalui pendidikan terbaik yang diterima.

“MRSM merupakan platform bagi mereka yang datang daripada kalangan B40 yang mempunyai potensi untuk terus maju, justeru kita akan terus mengutamakan golongan ini kerana melalui pendidikan terbaik yang diterima di MRSM akan berupaya membawa keluarga mereka ke arah kehidupan yang lebih baik,” katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu menyampaikan sijil tawaran kemasukan ke MRSM 2018 Parlimen Bera kepada lebih 30 orang pelajar di sini hari ini. Pelajar-pelajar ini turut menerima bantuan persekolahan dari Yayasan Pelajaran MARA (YPM) dalam bentuk peralatan sekolah dan wang tunai.

Jelasnya lagi, fokus kepada golongan tersebut sememangnya selaras dengan dasar penubuhan MRSM dalam membangunkan masyarakat setempat dari sudut ekonomi dan sosial selain memberi peluang kepada pelajar Bumiputera bandar dan luar bandar yang cemerlang untuk mendapat pendidikan yang berkualiti.

“Kita juga sentiasa memastikan agar tiada keciciran yang mana MARA sentiasa membantu proses permohonan daripada peringkat akar umbi malah turut memberi bantuan dan tajaan kepada para pelajar berpendapatan rendah melalui program BUDI MARA,” katanya lagi.

Sementara itu, Ismail Sabri turut menjelaskan setakat ini terdapat 54 buah MRSM di seluruh negara dengan pelajar sedia ada seramai 37,752 orang yang mana kerajaan telah memperuntukkan belanja mengurus hampir RM540 juta setahun berdasarkan bajet 2018.

“Selain itu, kerajaan juga telah meluluskan sebanyak lima (5) buah MRSM baharu yang akan dibina antaranya MRSM Bera, Ketereh, Sik, Bagan Datoh dan Tanah Merah serta dua (2) buah MRSM dengan kerjasama Petronas iaitu Ranau dan Bintulu dalam RMK-11 yang menelan belanja sebanyak RM570 juta.

Bagi tahun 2018 ini, sebanyak 7,786 tempat ditawarkan bagi kemasukan ke Tingkatan Satu manakala 2,276 tempat untuk kemasukan ke Tingkatan Empat MRSM di seluruh negara. Surat tawaran kemasukan MRSM boleh dimuat turun di portal MARA pada 22 Januari 2018 bermula jam 12.00 tengah hari. Bagi permohonan yang tidak berjaya, rayuan kemasukan boleh dibuat secara online di portal MARA pada tarikh dan masa yang sama.

Beliau yakin sistem pendidikan MRSM adalah jentera untuk merealisasikan hasrat dan usaha kerajaan, kementerian dan MARA untuk mencapai matlamat pembangunan bangsa yang maju dan dinamik yang bersendikan pembangunan sains dan teknologi serta melahirkan generasi saintis, usahawan, pereka cipta dan teknorat yang bersahsiah mulia di dunia dan akhirat.

This entry was posted in Pendidikan. Bookmark the permalink.