PARIT – Seramai 105 murid sekitar Parlimen Parit menyertai program Excellence Immersion Project 2018 anjuran Pejabat Pendidikan Perak Tengah dengan kerjasama Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Parit.
Pengetua MRSM Parit, Ismail Deraman berkata, program itu sebahagian program khidmat sosial korporat (CSR) bagi membantu meningkatkan tahap pencapaian murid terlibat.
Menurutnya, sebanyak 15 sekolah rendah terlibat dalam program itu merangkumi lapan program yang akan diadakan sepanjang tahun 2018.
“Program ini bakal memberi peluang kepada murid-murid terpilih untuk menyertai lapan program yang akan dilaksanakan sepanjang tahun ini seperti ceramah keibubapaan, teknik belajar secara berkesan, Kem Syoknya Sains dan Matematik, Oh My English, kem super Star 6A dan teknik menjawab matematik.
“Ini untuk membantu murid ini meningkatkan tahap akademik masing-masing supaya lebih bersedia menghadapi peperiksaan,” katanya.
Program itu dilancarkan Ahli Parlimen Parit, Datuk Mohd Zaim Abu Hasan.
Sementara itu, Mohd Zaim berkata, penganjuran program boleh dianggap sebagai satu perkongsian bijak antara MRSM dengan Pejabat Pendidikan Daerah.
“Program ini secara tidak langsung memberi motivasi kepada murid ini supaya mempunyai keinginan untuk turut sama belajar di MRSM ini.
“Ini juga membantu meningkatkan penguasaan mata pelajaran Bahasa Inggeris dalam kalangan murid luar bandar memandangkan MRSM ini mementingkan mata pelajaran itu,” katanya.
Katanya, murid berpeluang melihat sendiri keadaan pembelajaran di MRSM Parit seterusnya membantu menarik minat mereka untuk belajar bersungguh-sungguh.
“Kita mahu mereka menjadi lebih bermotivasi dan belajar bersungguh-sungguh supaya dapat menyambung pelajaran di sini.
“Ini sebagai persediaan murid darjah enam untuk menghadapi peperiksaan kelak,” katanya.
Summer : http://www.sinarharian.com.my/gps-bestari/mantapkan-murid-luar-bandar-1.784247