GiatMARA perlu tambah program TVET

ISMAIL SABRI YAAKOB

KUALA LUMPUR 16 Jan. – GiatMARA perlu meningkatkan kerjasama dengan institusi pendidikan di bawah Majlis Amanah Rakyat (MARA) lain dalam usaha memperkasakan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) untuk semua lapisan masyarakat.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, program bersama perlu ditambah bagi memacu akses kepada latihan dan pembelajaran sepanjang hayat.

“Kalau dahulu kita ada satu atau dua bridging programme bersama Institut Kemahiran MARA (IKM) dan Universiti Kuala Lumpur (UniKL), kali ini kita perlu menambah dan  perhebatkan lagi.

“Seterusnya menggunakan konsep Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS), kita perlu memantapkan dan memperkasakan pula TVET@KKLW selain Mara dan GiatMARA, Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) dan Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) serta pelbagai agensi lain boleh menyumbang kepada penghasilan tenaga mahir bertaraf dunia,” katanya dalam majlis perasmian Anugerah Tahunan GiatMARA, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi MARA, Datuk Dr. Awang Adek Hussin dan Pengerusi GiatMARA, Datuk Azlan Osman.

Ismail Sabri berkata, cabaran terbaharu MARA dan GiatMARA dalam menghadapi Revolusi Perindustrian 4.0  adalah memperkasakan TVET bagi meningkatkan pembangunan ekonomi khusus untuk generasi muda.

“Cabaran ini melibatkan mereka yang berada di luar bandar, tidak berminat dalam bidang akademik dan tidak berjaya ke universiti.

“Ini adalah gelombang ekonomi baharu yang mereka tidak boleh dipinggirkan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, GiatMARA terus diberikan kepercayaan untuk memacu program apabila peruntukan sebanyak RM140 juta diberikan pada tahun ini untuk selenggaraan sekolah tahfiz, Skim Latihan GiatMARA – Tahfiz, Skim Latihan Komunita GiatMARA-PPR dan Program Mobilepreneur. – UTUSAN ONLINE

Summer: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/giatmara-perlu-tambah-program-tvet-1.591541#ixzz54PMSy8lg

This entry was posted in Pendidikan. Bookmark the permalink.