Buku percuma, menu seimbang

Salah sebuah Tabika Kemas di Parlimen Sabak Bernam.

PELBAGAI kelebihan dinikmati kanak-kanak di Taman Asuhan Kanak-Kanak (Tabika) Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) yang disalurkan kerajaan melalui Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW).

Penyelia Kanan Kemas Parlimen Sabak Bernam, Abu Yamin Madar berkata, kerajaan memberi pelbagai keistimewaan kepada kanak-kanak yang mendapat pendidikan awal di Tabika berkenaan.

“Antaranya, kanak-kanak ini menerima pembelajaran dan buku aktiviti secara percuma, selain disediakan makan dan minum menu yang seimbang dan sesuai untuk perkembangan kanak-kanak.

Peluang ini seharusnya dimanfaatkan ibu bapa untuk menghantar anak-anak mereka mendapat pendidikan awal tambahan pula, setiap kanak-kanak ini diberikan geran per kapita dari KKLW sebanyak RM100 seorang setahun,” katanya.

Menurutnya, selain mementingkan aspek akademik, Tabika Kemas juga platform mencungkil bakat kanak-kanak.

“Ini meliputi aktiviti dalaman dan sukan yang dipertandingkan bukan sahaja di peringkat parlimen, daerah dan negeri, malah sehingga peringkat kebangsaan.

“Pada masa sama, program berbentuk Islamik seperti kelas pengukuhan dan penghayatan Islam turut diperkenalkan di Tabika Kemas yang memberi asas membaca al-Quran dan fardu ain,” katanya.

Abu Yamin berkata, sambutan ibu bapa terhadap Tabika Kemas sangat baik kerana mereka yakin sistem pendidikan yang dilaksanakan selaras dengan falsafah Pendidikan Negara sebagai asas utama melahirkan modal insan yang sempurna dan berkualiti.

“Jadi, adalah menjadi harapan kami, dengan prasarana dan kemudahan lengkap serta tenaga pengajar lulusan diploma ini, kanak-kanak di Tabika Kemas mendapat pendidikan awal yang sempurna dan berkualiti,” katanya.

Summer : http://www.sinarharian.com.my/gps-bestari/buku-percuma-menu-seimbang-1.784189

This entry was posted in Pendidikan. Bookmark the permalink.