MARA laksana e-bayaran

DR Yusuf Yacob

Kuala Lumpur: MARA Corporation Sdn Bhd (MARA Corp) cabang pelaburan komersial strategik Majlis Amanah Rakyat (MARA) dijangka memuktamadkan pelaksanaan sistem pembayaran elektronik (e-bayaran) bagi semua transaksi di bawah MARA selewat-lewatnya pertengahan tahun ini.

Penggunaan sistem e-bayaran adalah menerusi kerjasama dengan MOL AccessPortal Sdn Bhd (MOL), anak syarikat kepada MOL Global Inc iaitu peneraju e-bayaran dalam pasaran sedang berkembang.

Pengerusi MARA Corp Datuk Dr Yusof Yacob berkata, pihaknya ketika ini masih di peringkat perbincangan lanjut mengenai pelaksanaan sistem berkenaan sebelum ia dapat direalisasikan sepenuhnya.

Beliau berkata, melalui usaha sama itu, pihaknya yakin dapat melancarkan segala urusan transaksi pembayaran membabitkan MARA dan Bumiputera memandangkan e-bayaran ini mempunyai potensi untuk berkembang dengan pesat.

“MARA keseluruhannya mempunyai kira-kira 22,000 kakitangan dan jumlah ini tidak termasuk pelajar tajaan kami yang aktif 230,000 orang, di samping 60,000 usahawan.

“Jadi, dengan kapasiti yang kami ada ini mewujudkan satu ekosistem dan kehadiran MOL sebagai pemilik teknologi yang akan melengkapkan kerjasama antara dua pihak ini,” katanya selepas majlis pelancaran aplikasi mudah alih pembayaran One2pay dan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara MARA Corp dan MOL di sini, semalam.

Pemeteraian MoU itu juga sekali gus membuka ruang kepada MARA Corp untuk meneroka peluang usaha sama dalam memperkasa komuniti dan usahawan melalui gerbang pembayaran elektronik dan e-dompet disokong teknologi kewangan (Fintech) MOL.

Hadir sama, Pengerusi Eksekutif Kumpulan Berjaya Corp Tan Sri Vincent Tan, Timbalan Ketua Pengarah (Keusahawanan) MARA Zulfikri Osman, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MARA Corp Lukman Musa dan Ketua Pegawai Eksekutif MOL Global Preecha Praipattarakul.

Yusof berkata, e-pembayaran mempunyai peranan penting sebagai kaedah bayaran masa kini dan menjadi trend pada masa akan datang.

“Sekiranya terdapat mana-mana usahawan Bumiputera yang inginkan bantuan untuk menggunakan teknologi serta sistem pembayaran ini sudah tentu kami sentiasa terbuka untuk membantu,” katanya.

MARA pada April 2016 menstruktur semula anak syarikatnya melalui penubuhan MARA Corp, sebagai syarikat pelaburan milik kerajaan (GLIC) dengan nilai semasa sebanyak RM1.4 bilion ketika itu.

 

Sumber : https://www.hmetro.com.my/bisnes/2018/01/302218/mara-laksana-e-bayaran

Advertisements
This entry was posted in Usahawan and tagged . Bookmark the permalink.