Idam jadi usahawan perabot

Mohd. Izuwan Mat Rabi memilih peralatan untuk menghasilkan perabot di Wisdec Banting.

Industri perabot negara bukanlah suatu industri yang kian tenggelam dek berkembangnya teknologi masa kini.

Cuma industri tersebut tidak popular kerana potensinya kurang diuar-uarkan kepada masyarakat umum.Jika dilihat kepada hasil import dan eksport produk perabot, ia masih lagi menunjukkan kadar peningkatkan yang baik dari semasa ke semasa.

Ambil contoh bagaimana berjayanya sebuah syarikat perabot antarabangsa terkenal mempromosikan produk mereka agar lebih mendapat tempat dalam kalangan masyarakat negara ini.

Perkara yang sama juga diidamkan oleh Mohd. Izuwan Mat Rabi, lepasan Institut Kemahiran Mara, Sungai Petani dalam bidang pembuatan kabinet.

Ujarnya, jika kena pada gayanya industri perabot negara boleh kembali menyerlah dalam negara sendiri seperti dahulu.

“Dunia kian berubah dan industri ini juga perlu berubah seiring dengan perkembangannya. Antaranya adalah dengan mewujudkan rekaan-rekaan baharu yang lebih dekat dan dapat memenuhi cita rasa pelanggan masa kini.

“Kita lihat industri perabot luar negara yag kian menyerlah dan merupakan satu industri yang menjana pendapatan yang amat besar hanya kerana rekaannya yang begitu mempersona,” katanya.

Jelas Mohd. Izuwan, dia sememangnya meminati dunia pembuatan perabot sementelah tidak ramai belia yang berkecimpung dalam industri tersebut, menjadikan peluangnya untuk bersinar lebih tinggi.

Buat masa kini dia sedang menimba sebanyak mungkin ilmu menerusi Pusat Pembangunan Kemahiran Industri Kayu (Wisdec) sebagai pusat kecemerlangan (COE) dalam bidang perkayuan. Wisdec ada dua cawangan, satu di Banting, Selangor dan satu lagi di Kota Kinabalu, Sabah.

Hasil penat lelah Mohd. Izuwan dibimbing oleh tenaga pakar di WISDEC, dia berjaya menempatkan diri dalam pertandingan World Skills Competition 2017 di Pusat Pameran Kebangsaan Abu Dhabi di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada 14 hingga 19 Oktober tahun lalu.

Mohd. Izuwan berjaya memenangi pingat Medallion for Excellence dalam pertandingan yang berprestij berkenaan.

Setelah kejayaan tersebut, Mohd. Izuwan beberapa kali ditawarkan kerja di syarikat-syarikat perabot dalam negara namun bagi dirinya ia bukan sasaran sebenar.

“Saya mengimpikan untuk bergelar usahawan dalam bidang ini dan kini sedang dalam proses ke arah tersebut.

“Pun begitu saya merasakan masih perlu menimba ilmu sebanyak mungkin sebelum mengorak langkah ke arah tersebut,” katanya.

Perkara yang sama turut dikongsikan oleh Amirul Ridwan Mohd Azam dari Institut Latihan Perindustrian (ILP) Kuala Terengganu (bidang sambungan) yang turut bercita-cita yang sama iaitu mahu bekerja sendiri.

Menurut Amirul Ridwan, dia bukan mahu jual mahal namun tidak mahu ilmu dan usaha yang diperoleh di Wisdec disia-siakan.

Menerusi penubuhan syarikat sendiri, ilmu, idea dan kemahirannya dalam industri tersebut dapat dikembangkan dan dibayar dengan kadar yang setimpal.

“Kita boleh lihat bagaimana pendapatan seorang pereka bentuk perabot terkemuka di luar negara, mereka memperoleh pendapatan setimpal dengan idea dan kreativiti mereka.

“Ia bukan soal mencari keuntungan semata-mata namun bagaimana mahu menempatkan rekaan perabot dalam negara setanding rekaan perabot terkemuka luar negara,” katanya.

Tambahnya, perabot Malaysia memiliki permintaan yang tinggi di luar negara, namun dijual pada kadar yang rendah kerana ia dianggap bernilai rendah.

Hal demikian bukan kerana bahan yang digunakan tidak bermutu tetapi hasil akhir dan teknik pasaran yang lebih menumpukan kepada kuantiti berbanding kualiti menjadikannya begitu.

Oleh demikian, mereka merupakan golongan pelopor yang cuba untuk menjadikan industri perabot negara setanding dengan jenama-jenama terkemuka luar negara menerusi Wisdec.

Kini kedua-duanya masih lagi bernaung bawah Wisdec secara sukalera dan sering menawarkan tunjuk ajar, ilmu dan kemahiran kepada pelapis mereka.

 

Sumber : https://www.utusan.com.my/bisnes/usahawan/idam-jadi-usahawan-perabot-1.587839

Advertisements
This entry was posted in Pendidikan and tagged . Bookmark the permalink.