GiatMARA bantu baiki pendawaian rumah mangsa banjir

DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob melawat mangsa banjir dan menyampaikan ‘survival kit’ kepada mangsa banjir di pusat pemindahan sementara Sekolah Kebangsaan (SK) Caruk Puting.- Foto Wan Kemat

BERA: Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah akan menggerakkan pelajar dan tenaga pengajar Giat MARA dan agensi di bawah kementeriannya membantu membaiki kerosakan pendawaian elektrik rumah mangsa banjir .

Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) kampung yang terbabit banjir akan diminta membantu mengenal pasti kerosakan pendawaian rumah penduduk yang dinaiki air.

“Jika kerosakan berkenaan membabitkan peruntukan besar maka adalah lebih baik JKKK membuat laporan kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) untuk diambil tindakan.

“Giat MARA dan beberapa agensi lain di bawah kementerian akan diberi peranan membaiki pendawaian berskala kecil bagi membantu mempercepatkan mangsa menikmati kemudahan bekalan elektrik,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melawat mangsa banjir dan menyampaikan `survival kit’ kepada mangsa banjir di pusat pemindahan sementara Sekolah Kebangsaan (SK) Caruk Puting, dekat sini, hari ini.

Selain itu, Ismail Sabri berkata, setakat ini, sebanyak 1,400 `survival kit’ kementerian itu yang mengandungi tuala, makanan kering, beras, ubat gigi dan lampu suluh sudah diagihkan kepada mangsa banjir di Pahang dan Sabah.

 

Sumber : https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2018/01/371860/giat-mara-bantu-baiki-pendawaian-rumah-mangsa-banjir

This entry was posted in Lain-Lain and tagged . Bookmark the permalink.