433 pusat tahfiz diselenggara

PELAJAR-PELAJAR Maahad Tahfiz ceria dengan penambahbaikan kemudahan asas seperti penambahan kipas, lampu dan plak elektrik pada Program Senggara Pendawaian Elektrik Sekolah Tahfiz di Maahad Tahfiz Darul Ulum Al-Hilmiah Kepala Batas. – Foto BERNAMA

ALOR SETAR: Sebanyak 433 daripada 669 pusat tahfiz tidak berdaftar dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) di seluruh negara diselenggara menerusi program penambahbaikan pendawaian elektrik oleh pelatih GiatMARA sejak November tahun lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif GiatMARA, Jamal Nasir Othman, berkata proses selenggara itu siap pada penghujung Disember lalu selepas menerima peruntukan antara RM10,000 hingga RM30,000 bagi setiap pusat tahfiz berkenaan.

Katanya, pihaknya sedang melakukan kerja penyelenggaraan di 84 pusat tahfiz dan bakinya akan dilakukan secara berperingkat yang membabitkan kos keseluruhan sebanyak RM30 juta.

“Tahun ini, peruntukan itu ditambah kepada RM50 juta untuk menyelenggara 612 pusat tahfiz yang berdaftar dengan JAKIM. Mereka akan menerima peruntukkan antara RM10,000 sehingga RM80,000 bergantung kepada keperluan masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Penyelenggaraan Pendawaian Elektrik Sekolah Tahfiz, Maahad Tahfiz Darul Ulum Al-Hilmiah, Kepala Batas, di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Luar Bandar dan Pembasmian Kemiskinan negeri, Datuk Mohd Tajudin Abdullah dan Pengerusi Jawatankuasa Agama, Pelancongan dan Warisan serta Kerja Raya negeri, Datuk Mohd Rawi Abd Hamid.

PENGERUSI Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Luar Bandar dan Pembasmian Kemiskinan Kedah Datuk Mohd Tajudin Abdullah (kiri) bersama Pengerusi Jawatankuasa Agama, Pelancongan, Warisan dan Kerjaraya Negeri Datuk Mohd Rawi Abdul Hamid (empat, kiri) melihat proses pendawaian elektrik pada tinjauan mesra Program Senggara Pendawaian Elektrik Sekolah Tahfiz di Maahad Tahfiz Darul Ulum Al-Hilmiah Kepala Batas hari ini. -Foto BERNAMA

Jamal berkata pihaknya yakin dapat menyiapkan kerja penyelenggaraan pendawaian elektrik pada hujung tahun ini yang membabitkan 1,281 pusat tahfiz di seluruh negara dengan pembabitan sebanyak 154 pasukan yang terdiri daripada 1,540 pelatih GiatMARA.

“GiatMARA akan terus menjalankan proses penyelenggaraan jika keadaan pusat tahfiz itu terlalu daif selepas melakukan pemantauan bersama Jabatan Kerja Raya (JKR), bomba, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Jabatan Agama Islam negeri,” katanya.

Di Kedah, sebanyak 27 daripada 60 pusat tahfiz siap diselenggara selepas menerima peruntukkan RM3.08 juta.

Sementara itu, Mohd Tajuddin berkata, penyelenggaraan setiap pusat tahfiz itu mematuhi piawaian yang ditetapkan oleh pihak bomba dan PBT bagi memastikan pusat tahfiz berkenaan selamat.

“Bagi pusat tahfiz yang kita lawati hari ini, kesemua pendawaian elektrik lama ditukar dalam bentuk paip selain, kita turut mengganti dan menambah kipas untuk keselesaan pelajar. Malah, ia juga akan turut dilengkapi dengan pengesan asap, alat penggera dan kecemasan dan alat pemadam api,” katanya.

 

Sumber : https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2018/01/372191/433-pusat-tahfiz-diselenggara

This entry was posted in Pendidikan and tagged . Bookmark the permalink.