Tuah robot bijak

DARI kiri Yoel Shalom, Nor Afiqah Batrisyia, Safurah, Batrisyia, Intan Farhanah, dan Khairul Zakwan meraikan kemenangan mereka di KLIA2, kelmarin.

Sepang: Robot pengesan bahan radioaktif ciptaan pelajar Malaysia memenangi pingat emas kategori kreatif pada Olympiad Robot Antarabangsa 2017 di Stadium Pusat Olimpik Qinhuangdao, China.

Robot yang dicipta dua pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Pendang, Kedah itu berjaya menarik hati juri berdasarkan fungsi dan kekemasannya yang dihasilkan sekali gus melayakkan mereka meraih pingat emas.

Malah, robot dicipta Batrisyia Mohd Razalee, 14, dan Safurah Mohd Hazri, 16, itu bukan hanya berfungsi sebagai pengesan radioaktif, tetapi dapat menyedut bahan itu untuk dikuarantin dalam menjaga keselamatan orang ramai di sekeliling.

Batrisyia berkata, mereka perlu menghasilkan robot melalui tema diberikan penganjur iaitu Mentakrifkan Semula Keselamatan Awam.

“Alhamdulillah, kami berjaya menghasilkan robot pengesan bahan radioaktif dalam tempoh diberikan. Malah, robot berkenaan berfungsi dengan baik ketika pertandingan berlangsung.

“Kami sentiasa peka dengan elemen penting dalam penciptaan robot ini kerana jika kami buat satu kesilapan sekali pun pasti ia tidak akan berfungsi,” katanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2), semalam.

Beliau berkata, antara maklum balas yang diberikan juri adalah robot yang dihasilkan mereka dapat memanfaatkan peralatan elektronik selain rekaan yang kemas.

“Kami berjaya mengalahkan peserta wakil kelab, sekolah dan institusi berkaitan robotik dari beberapa negara seperti Jerman, New Zealand, Australia, Thailand, Filipina, Pakistan, Amerika Syarikat, Korea Selatan dan China,” katanya.

Pertandingan yang bermula 16 hingga 20 Disember lalu turut berjaya merangkul pingat perak kategori Robot in Movie yang dimenangi dua pelajar MRSM Kuching iaitu Yoel Shalom Anding dan Khairul Zakwan Ahmad.

Seterusnya, pingat gangsa dimenangi pelajar MRSM Bentong, Pahang iaitu Intan Farhanah Rosman dan Nur Afiqah Batrisyia.

Dalam pada itu, Guru Pengiring MRSM Adha Arffain berkata, pihaknya berbangga dengan prestasi ditunjukkan peserta terutama atas kejayaan mereka menewaskan pasukan lain.

Katanya, kejayaan itu diharap dapat dipertingkatkan pada masa depan terutama nya menerusi kejohanan bertaraf antarabangsa lain.

“Semua peserta sudah membuat persediaan sejak Julai lalu selepas Robotfair 2017 yang berlangsung di MRSM Bentong dan selepas itu kami fokus kepada pertandingan antarabangsa ini dan memperoleh kejayaan,” katanya.

 

Sumber : https://www.hmetro.com.my/setempat/2017/12/295958/tuah-robot-bijak

Advertisements
This entry was posted in Pendidikan and tagged . Bookmark the permalink.