Bot Wakaf tingkatkan ekonomi nelayan

WAN Mohd Zahid (dua dari kiri) melihat Bot Waqaf Perak Ar-Ridzuan pertama yang dibina di bawah Program Waqaf Perak Ar-Ridzuan. – Foto Noor Hidayah Tanzizi

LUMUT: Bot Waqaf Perak Ar-Ridzuan (WPAR) kali pertama diperkenalkan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) bagi membantu meningkatkan ekonomi komuniti nelayan.

Pengurus Besar Bahagian Pengurusan Mal dan Waqf MAIPk, Suhaimi Yusoff, berkata, bot waqaf itu direka dan dibina oleh Universiti Kuala Lumpur Malaysian Institute of Marine Engineering Technology (UniKL MIMET).

Katanya, WPAR yang diserahkan UniKL MIMET kepada MAIPk hari ini adalah hasil wakaf orang ramai yang ditukar kepada bentuk harta tetap.

“Bot yang bernilai RM160,876.20 ini akan diserahkan kepada pengurus projek iaitu Persatuan Nelayan Manjung Selatan dan akan disewakan kepada ahlinya.

“Hasil sewa itu akan dibahagikan kepada dua iaitu sebanyak 50 peratus untuk penyelenggaraan bot dan 50 peratus lagi untuk dijadikan modal pusingan bagi membina bot lain pula,” katanya.

Beliau bercakap pada sidang media selepas Majlis Penyerahan bot berkenaan di UniKL di sini hari ini.

Turut hadir, Yang Dipertua MAIPk, Tan Sri Dr Wan Mohd Zahid Noordin; Ketua Pegawai Eksekutif MAIPk, Datuk Dr Amiruddin Muhamed; Timbalan Presiden UniKL, Prof Datuk Dr Ahmad Zahir Mokhtar dan Ketua Kampus serta Dekan UniKL MIMET, Prof Madya Zainorin Mohamad.

Suhaimi berkata, bot kelas B yang dilengkapi enjin 115 kuasa kuda dengan enjin kecemasan berkuasa 40 kuasa kuda itu mengambil masa tiga bulan untuk disiapkan.

Katanya, melalui bot itu orang ramai boleh melihat wakaf tunai mereka digunakan dengan baik untuk memberi manfaat dan membantu nelayan menjana ekonomi.

Beliau berkata bot berkenaan boleh digunakan di laut dalam.

“Kami juga berhasrat untuk membina lebih banyak bot lagi selepas ini supaya lebih ramai memperoleh manfaat ini,” katanya.

 

Sumber : https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2017/12/366202/bot-wakaf-tingkatkan-ekonomi-nelayan

This entry was posted in Pendidikan and tagged . Bookmark the permalink.