KUALA LUMPUR: Sebanyak 33 daripada 398 kolej swasta yang berdaftar dengan Kementerian Pendidikan Tinggi ditutup tahun ini, atas pelbagai sebab.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh, berkata arahan penutupan itu disebabkan pengurusan kolej didapati melanggar peraturan atau syarat.
Beliau berkata, antara punca kolej itu ditutup ialah tidak cukup pelajar dan pensyarah, tidak menjalankan proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) serta tempoh pendaftaran kolej tamat.
“Kita tidak boleh kompromi. Sekiranya kita dapati mereka enggan atau gagal memenuhi kelayakan yang kementerian tetapkan, saya minta maaf kita terpaksa tutup kolej berkenaan.
“Memang tahun ini banyak jika dibanding tahun sebelumnya, memandangkan pihak kolej perlu mengemuka data atau maklumat kolej berkenaan secara dalam talian kepada kementerian.
“Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (Akta 555) yang dikuat kuasa pada bulan lalu yang mengkehendaki semua kolej swasta menyelaras kerja, memudahkan proses kawal selia kementerian, sekali gus kita dapat kenal pasti kelemahan institusi berkenaan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penarafan Sistem Penilaian Kualiti Kolej Swasta Malaysia (MyQUEST) di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Dr Mary Yap Kain Ching; Ketua Setiausaha Kementerian, Tan Sri Dr Noorul Ainur Mohd Nur dan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datin Paduka Ir Dr Siti Hamisah Tapsir.
Dalam majlis itu, sebanyak 15 kolej dianugerah penarafan enam bintang, 63 kolej mendapat lima bintang, 51 kolej memperoleh empat bintang, manakala 67 kolej ditaraf tiga bintang dan ke bawah.
Antara kolej yang menerima penarafan enam bintang ialah Kolej MSU Shah Alam, Kolej Poly-Tech MARA Bangi (KPTM), Kolej SEGi Subang Jaya, Kolej Sunway Kuala Lumpur, Kolej Sunway Johor dan German-Malaysian Institute (GMI).
Idris berkata, MyQUEST tahun ini merekodkan peningkatan sebanyak 27 peratus oleh kolej swasta yang meraih penarafan kualiti antara empat hingga enam bintang, sejak kali pertama diperkenalkan pada 2011.
Katanya, ini menunjukkan bahawa kolej membuat penambahbaikan secara berterusan.
“Pada tahun ini, sebanyak 336 kolej daripada 398 kolej yang berdaftar menyertai fasa pertama dan merekodkan peningkatan penyertaan 25.8 peratus berbanding sesi 2014/2015.
“Daripada jumlah ini, bilangan kolej yang layak diaudit dan diberi penarafan dalam fasa kedua ialah 206 kolej,” katanya.
Sumber : https://www.bharian.com.my/berita/pendidikan/2017/12/364853/kolej-ditutup-atas-pelbagai-sebab