75 Usahawan IKS Sertai Ekspo Keusahawanan Pasir Puteh

ASIR PUTEH, 18 Dis (Bernama) — Sebanyak 75 usahawan industri kecil dan sederhana (IKS) akan menyertai ekspo keusahawanan dan pertanian desa yang akan diadakan selama seminggu di pekarangan Pasar Siti Hajar, Bandar Baharu Pasir Puteh Sentral, bermula Khamis ini.

Yang Dipertua Majlis Daerah Pasir Puteh (MDPP) Mohd Anis Hussein berkata ekspo itu diadakan dengan kerjasama agensi kerajaan persekutuan dan negeri untuk memberi peluang kepada usahawan IKS memasarkan produk masing-masing.

“Sebahagian besar usahawan IKS yang akan menyertai ekspo tersebut merupakan peserta di bawah tajaan agensi kerajaan persekutuan termasuk Majlis Amanah Rakyat (MARA), Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM),” katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di sini, hari ini.

Mohd Anis berkata orang ramai berpeluang untuk mendapatkan barangan keperluan harian dengan harga berpatutan berbanding di pasar-pasar biasa pada ekspo tersebut.

Beliau berkata universiti awam (UA) dan institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) juga akan membuat pameran bagi memberi pendedahan kepada pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk mendapatkan maklumat bagaimana memohon untuk menyambung pengajian ke pusat-pusat pendidikan berkenaan.

Sumber : http://www.bernama.com/bernama/v8/bm/ge/newsgeneral.php?id=1420433

This entry was posted in Usahawan. Bookmark the permalink.