Konsert Inspirasi Muzikal 2017 Tonjol Bakat Dan Kebolehan Pelajar MRSM Dalam Bidang Seni

Dato’ Haji Ariss bin Samsudin (berdiri tengah) bergambar bersama pelajar MRSM yang mengadakan persembahan dalam Konsert Inspirasi Muzikal 2017 di Auditorium DBKL di Kuala Lumpur.

Kuala Lumpur 16 Disember – Konsert Inspirasi Muzikal sekali lagi diadakan buat kali keduanya di Auditorium Dewan Bandaraya Kuala Lumpur yang melibatkan hampir 200 penyertaan pelajar Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) seluruh negara.

Konsert selama dua hari ini bermula Jumaat iaitu 15 Disember dan 16 Disember , menyaksikan persembahan dari sembilan buah MRSM yang rata-ratanya menampilkan persembahan seni muzik tradisional antaranya tarian, Caklempong, Gamelan, Ghazal, Orkestra dan nyanyian.

Menurut Pengarah Pendidikan Menengah, Encik Kamaruzaman bin Jaffar, melalui konsert ini, pelajar MRSM bukan sekadar mencipta kecemerlangan akademik sebaliknya turut mencipta kejayaan dalam bidang seni. Usaha ini menampakkan hasil apabila mampu memukau hampir 1000 penonton selama 2 hari diadakan dengan menunjukkan jualan tiket sempena konsert telah habis dijual sehingga ke hari kedua konsert diadakan.

Beliau berkata, bermula tahun lepas, kami tonjolkan bakat dan kebolehan pelajar MRSM secara umum kepada orang ramai dan melalui penganjuran konsert ini, masyarakat dapat melihat dan mengetahui yang pelajar MRSM bukan sahaja cemerlang di bidang akademik sains dan teknologi sahaja malah juga hebat dalam memartabatkan seni muzik tradisional.

Kemeriahan konsert dapat dirasai apabila penonton bersorak dan tepukan gemuruh diberikan kepada setiap persembahan oleh pelajar-pelajar dengan menampilkan MARESMAF Wind Orkestra, Koir dan Gamelan dari MRSM FELDA Trolak, Tarian Piring dan gesekan biola oleh Ungku Amirul Ariff Ungku Ariffin yang juga dari MRSM Gemencheh, Caklempong Lentera Kesuma dari MRSM Kuala Klawang, Muzik Bamboo dari MRSM Tun Mohammad Fuad Stephens, Ghazal Anak Mersing dari MRSM Mersing, Ensara Kenyalang Sape dari MRSM Mukah, Band The Tonelist dan nyanyian solo dari MRSM Kuala Kubu Bharu dan MRSM Pasir Salak dengan menampilkan pelajar viral suara mirip Dato’ Siti Nurhaliza iaitu Rudy dengan lagu Nirmala dan Hati Kama.

Bagi memeriahkan suasana MARA Voices turut dijemput mengadakan persembahan koir dengan dua lagu tradisional iaitu Ayam Den Lapeh dan Kenanganku.

Hadir sama untuk menyaksikan konsert pada kali ini adalah Ahli Majlis MARA, YBhg. Dato’ Haji Ariss bin Samsudin, Pengarah Pendidikan Menengah, Encik Kamaruzaman bin Jaffar, Pengarah Pembangunan Usahawan Encik Abdul Aziz bin Hassan dan Pengarah MARA Negeri Johor, Encik Nor Hashimi bin Mahat.

This entry was posted in Pendidikan. Bookmark the permalink.