Pelajar KPTM Alor Setar rai kanak-kanak istimewa

BADROL HISHAM (belakang, empat dari kiri) bergambar kenangan bersama kanak-kanak kurang bernasib baik

KEGEMBIRAAN jelas terpancar pada wajah Md. Fathi Muharram Syurahbil, 5, sebaik sahaja dia tiba di pusat permainan kanak-kanak Kidzoona di Aman Central, Alor Setar, Kedah baru-baru ini.

Tanpa melengahkan masa, dia terus berlari-lari di dalam pusat permainan yang dipenuhi dengan bola-bola plastik kecil itu untuk bermain bersama rakan-rakannya.

Md. Fathi Muharram antara 50 anak yatim dan kurang bernasib baik daripada Pusat Jagaan Islam Hidup Matiku, Pusat Pembelajaran Baitul Rahmah Rohingya dan Persatuan Kebangsaan Autisme Malaysia (NASOM) yang dijemput untuk memeriahkan program 5 Brigade’s Kidtastic Celebration di pusat permainan kanak-kanak tersebut.

Program itu dianjurkan oleh pelajar BM5 Brigade Diploma Pengurusan dan Teknologi Pejabat dari Kolej Poly-Tech Mara (KPTM) Alor Setar.

Pengarah Program, Mohd. Faiz Fadhil Mohd. Affandy berkata, program itu diadakan bagi meningkatkan kesedaran orang ramai terutamanya generasi muda untuk meraikan kanak-kanak kurang bernasib baik.

Menurutnya, ia menjadi salah satu cara untuk mereka berhubung secara langsung dengan anak-anak yatim, autisme dan Rohingya.

“Mungkin ada kanak-kanak ini yang tidak pernah berkunjung ke taman permainan Kidzoona. Jadi, kami mengambil peluang ini untuk menyantuni dan meraikan mereka dengan program sedemikian.

“Selain itu, ia dapat meningkatkan kesedaran mengenai autisme, anak yatim dan Rohingya terutamanya dalam kalangan sukarelawan KPTM yang turut serta pada program ini,” katanya.

Tambah Mohd. Faiz Fadhil, dia berharap melalui program yang dianjurkan itu, ia boleh menjadi contoh kepada generasi muda di luar sana untuk bersama-sama meraikan kanak-kanak istimewa.

Program sedemikian juga menjadi platform untuk mereka mempromosikan nama KPTM.

“Selain meraikan kanak-kanak istimewa, program ini juga dilihat mampu untuk memperkenalkan KPTM Alor Setar kepada masyarakat.

Modal insan
“Kami mahu masyarakat tahu bahawa KPTM bukan sekadar institusi pendidikan tinggi yang hanya tertumpu kepada akademik tetapi juga memberi tumpuan pada pembangunan modal insan,” jelasnya.

Dalam pada itu, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah, Datuk Badrol Hisham Hashim berkata, usaha yang dilakukan oleh pelajar KPTM Alor Setar itu harus dipuji.

“Penganjuran program ini amat bertepatan terutamanya bagi meraikan kanak-kanak dalam kalangan anak yatim, kanak-kanak autisme dan Rohingya.

“Ini adalah untuk memberi kesedaran sosial kepada mahasiswa dan mahasiswi supaya dapat membina hubungan baik antara penganjur serta kanak-kanak ini.

“Selain itu, ia juga dapat memberi pengalaman baharu kepada penganjur untuk menguruskan program seumpamanya.

“Malah, program ini juga dapat memperkenalkan dan mempromosikan Kidzoona, Aman Central kepada masyarakat luar,” katanya ketika berucap merasmikan majlis tersebut.

Tambah Badrol Hisham, program seperti itu amat penting dan usaha berterusan perlu dilakukan bagi memupuk sifat kepimpinan dalam kalangan mahasiswa serta mahasiswi, sekali gus memberi kesedaran kepada semua lapisan masyarakat tentang kepentingan untuk meraikan kanak-kanak istimewa.

 

Sumber : http://www.kosmo.com.my/k2/varia/pelajar-kptm-alor-setar-rai-kanak-kanak-istimewa-1.571822

This entry was posted in Pendidikan and tagged . Bookmark the permalink.