Tak perlu takut…

DR Awang Adek (dua dari kiri) pada majlis pelancaran polisi pelindungan pemberi maklumat MARA dan ikrar bebas rasuah yang diadakan di Hotel Premiera

Kuala Lumpur: Pekerja tidak perlu takut tampil memberi maklumat penyalah gunaan kuasa dan rasuah kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana mereka dilindungi mengikut Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 (Akta 711).

Sekiranya pekerja itu dikenakan tindakan atau dipecat, majikan berkenaan boleh dikenakan tindakan undang-undang termasuk dihadapkan ke mahkamah.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki berkata, majikan juga perlu membayar pampasan atau mengambil semula pekerja berkenaan.

“Sejak tahun lalu, ada lapan kertas siasatan dibuka untuk menyiasat pihak majikan yang mengambil tindakan tidak wajar kepada pemberi maklumat yang dilindungi mengikut Akta 711 ini. Baru-baru ini, kami juga membuka beberapa lagi kes siasatan.

“Akan ada tindakan diambil berdasarkan kertas siasatan yang dirujuk kepada saya seterusnya dipanjangkan kepada timbalan pendakwa raya. Jika pendakwa raya bersetuju dengan kes yang diterangkan, pemberi maklumat ini perlu diberi pampasan, diambil bekerja semula atau majikan boleh dituduh di mahkamah mengikut Akta 711.

“Kita mengorak langkah kesedaran kepada rakyat Malaysia supaya jangan takut untuk memberi maklumat. Jadi, usaha Majlis Amanah Rakyat (MARA) dalam melancarkan Polisi Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 ini adalah satu perkara yang bagus,” katanya selepas Majlis Pelancaran Polisi Perlindungan Pemberi Maklumat MARA dan Ikrar Bebas Rasuah di sini, semalam.

Majlis itu disempurnakan oleh Pengerusi MARA Datuk Dr Awang Adek Hussin. Turut hadir, Ketua Pengarah MARA Datuk Azhar Abdul Manaf dan Ahli Majlis MARA Datuk Ariss Samsudin.

Sementara itu, Awang Adek berkata, MARA antara agensi kerajaan terawal yang menjalinkan kerjasama dengan SPRM melalui pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) yang pertama pada 10 April 2012.

Katanya, pelancaran Polisi Perlindungan Pemberi Maklumat MARA dan Ikrar Bebas Rasuah itu adalah bertepatan dengan sokongan MARA kepada usaha membanteras rasuah di negara kita dan di MARA sendiri.

“Ini penting kerana saya percaya kita kena ada usaha untuk melindungi pemberi maklumat ini kalau tidak mereka tidak akan tampil ke hadapan. Bagaimanapun, pemberi maklumat perlu mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan bagi mengelak orang membuat fitnah dan sebagainya.

“Pemberi maklumat ini perlu tampil ke hadapan, memperkenalkan diri dan bukan hanya menghantar surat layang. Itu penting supaya ada kesungguhan dan keseriusan kedua-dua pihak iaitu pengadu dan pegawai integriti dalam kes ini,” katanya.

 

Sumber : https://www.hmetro.com.my/setempat/2017/12/293024/tak-perlu-takut

This entry was posted in Lain-Lain and tagged . Bookmark the permalink.