Majikan pecat pekerja salur maklumat rasuah boleh didakwa

PENGERUSI MARA, Datuk Dr. Awang Adek Hussin (tengah) bersama Timbalan Ketua Pesuruhjaya (operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki dan Ketua Pengarah MARA, Datuk Azhar Abdul Manaf bergambar pada majlis pelancaran polisi pemberi maklumat MARA dan ikrar bebas rasuah yang diadakan di Hotel Premiera. – Foto Mohd Khairul Helmi Mohd Din

KUALA LUMPUR: Majikan boleh dikenakan tindakan undang-undang mengikut Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 (Akta 711) jika mengambil tindakan tidak wajar, termasuk memecat, pekerja yang memberi maklumat berhubung salah guna kuasa dan rasuah di tempat kerja.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki, berkata pada masa sama majikan yang disabitkan kesalahan boleh diperintahkan membayar pampasan atau mengambil semula pekerja berkenaan.

“Sejak tahun lalu sebanyak lapan kertas siasatan dibuka berkaitan kes pekerja dikenakan tindakan seperti dibuang kerja kerana menyalur maklumat kepada SPRM.

“SPRM juga sedang membuka beberapa kertas siasatan baharu berhubung kes sama. Statistik kes sebegini semakin meningkat. Ia satu langkah kesedaran kepada rakyat supaya jangan takut untuk memberi maklumat kerana mereka akan dilindungi mengikut undang-undang sedia ada,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Polisi Perlindungan Pemberi Maklumat MARA dan Ikrar Bebas Rasuah di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi MARA, Datuk Dr Awang Adek Hussin, yang menandatangani Ikrar Bebas Rasuah dengan SPRM selepas melafaz ikrar bersama 600 kakitangan MARA.

Mengulas lanjut, Azam berkata pertemuan SPRM dengan pemberi maklumat tidak semestinya di Unit Integriti atau di pejabat masing-masing, tetapi di lokasi dirahsiakan yang selesa dan selamat.

“Pengadu diistilahkan sebagai orang yang datang sendiri atau terbabit dalam kes manakala pemberi maklumat pula adalah orang berkait tugas risikan.

“Bagaimanapun jika pengadu sanggup memberi maklumat, mereka turut dimasukkan di bawah program sama seperti pemberi maklumat ketika proses siasatan dijalankan,” katanya.

Sementara itu, Awang Adek berkata MARA adalah antara agensi terawal menjalin hubungan dengan SPRM menerusi Memorandum Persefahaman pertama pada 10 April 2012 dan diperbaharui pada 19 Oktober 2016.

Beliau berkata, program sedemikian adalah usaha melindungi pemberi maklumat supaya mereka berani tampil ke hadapan.

“Ada kaedah dan syarat untuk mengelak fitnah, bukan sekadar menghantar surat layang. Kedua-dua pihak iaitu pelapor mesti serius dan sanggup tampil ke hadapan manakala pihak penerima maklumat perlu membuat tindakan sewajarnya,” katanya.

 

Sumber : https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2017/12/361986/majikan-pecat-pekerja-salur-maklumat-rasuah-boleh-didakwa

Advertisements
This entry was posted in Lain-Lain and tagged . Bookmark the permalink.