oleh azmaen@pmdbatupahat
Batu Pahat, 12 Disember – MARA terus memberi keutamaan kepada golongan belia untuk memula dan meningkatkan perniagaan yang diberi melalui kemudahan keusahawanan dalam pelbagai sudut termasuk suntikan modal perniagaan.
Menurut Timbalan Pengarah MARA Negeri Johor, Zulkifli Baba, golongan belia terus diberi keutamaan oleh MARA memandangkan golongan ini berpotensi untuk menjana pendapatan yang tinggi melalui bidang keusahawanan jika diberi perhatian yang sewajarnya.
“Kita berharap, golongan ini mampu menjana pendapatan yang lebih tinggi apabila mendapat bantuan daripada MARA seperti suntikan modal perniagaan yang disampaikan kepada mereka pada hari ini,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa Sesi Engagement dan Penyerahan Cek Pembiayaan PUTRA berjumlah RM98,000 kepada 12 usahawan belia daripada daerah Batu Pahat, Tangkak dan Segamat di sini hari ini.
Beliau menambah, selain menetapkan sasaran peningkatan jualan, suntikan modal yang diterima juga perlu dimanfaatkan dalam bentuk promosi perniagaan mereka.
“Melalui kaedah promosi yang berterusan seperti menggunakan kaedah sosial media mampu menarik pelanggan baru sekali gus meningkatkan hasil jualan dan seterusnya mengukuhkan lagi perniagaan yang mereka ceburi,” katanya lagi.
Zulkifli turut menggesa para usahawan belia untuk terus meningkatkan kemahiran perniagaan melalui pelbagai latihan dan kursus yang disediakan oleh MARA dan juga agensi-agensi kerajaan yang lain.
“Para belia seharusnya keluar daripada zon selesa dengan meningkatkan kemahiran sedia ada dalam melonjakkan lagi perniagaan sedia ada sekali gus menyumbang kepada kemajuan ekonomi tempat tinggal mereka,” ujarnya lagi.
Turut hadir ke sesi ini adalah Pegawai MARA Daerah Batu Pahat, Azmaen Zain, Pegawai MARA Daerah Tangkak, Shahrulazli Jaafar serta Pegawai MARA Daerah Segamat, Nor Liana Salleh.