Sumbang RM10,000 demi Palestin

Iqbal (dua dari kanan) menyampaikan replika cek kepada Sharuzzaman (tengah)

PERSATUAN Belia Islam Nasional (PEMBINA) Universiti Kuala Lumpur Royal College of Medicine Perak (UniKL RCMP) di Ipoh menyumbangkan RM10,000 kepada Aman Palestin Berhad atas dasar keprihatinan terhadap konflik yang berlaku di Palestin.

Sumbangan disampaikan Ketua Bahagian Hal-Ehwal Pelajar UNIKL RCMP, Muhammad Iqbal Samad kepada Pengerusi Aman Palestin Perak, Shahruzzaman Bistamam selepas Majlis Penutupan Program Minggu Kesedaran Ummah anjuran PEMBINA UniKL RCMP.

Pengarah program, Thiya Anissa Ramlan,20, berkata, sumbangan itu dikumpul menerusi pelbagai aktiviti yang dijalankan PEMBINA UniKL RCMP seperti jualan amal, kutipan dari pelajar dan orang ramai di sekitar Ipoh.

“Walaupun sasaran kutipan RM15,000 belum tercapai namun kutipan ini adalah untuk menyedarkan generasi muda di Palestin yang semakin bergolak.

“Kami tidak mampu berjuang dengan menggunakan senjata namun mahu membantu melalui usaha menggerakkan kesedaran masyarakat dari segi bantuan kewangan bagi meringankan beban mereka,” katanya yang ditemui selepas program berkenaan di kampus universiti berkenaan.

Hadir sama Penolong Pengarah Bahagian Media Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Nabil Ahmad serta Pengurus Aman Palestin Pulau Pinang, Budiyanto Unggun yang menjadi panel forum dalam program yang dihadiri 150 pelajar itu.

Sementara itu, Shahruzzaman berkata, kesepaduan umat Islam tanpa mengambilkira ideologi dan fahaman politik sangat diharapkan bagi membantu membela nasib umat Islam di Palestin.

“Rancangan untuk mengisytiharkan Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel bukan perkara baru dan ia kini sudah diisytiharkan oleh Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump.

“Kita harap, kerajaan Malaysia yang dikenali dengan kekuatan diplomasi boleh menjadi orang tengah untuk berunding dengan Trump,” katanya.

Gambar Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

Sumber : https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2017/12/292394/sumbang-rm10000-demi-palestin

This entry was posted in Lain-Lain, Pendidikan and tagged . Bookmark the permalink.