Tahlil buat pelajar maut nahas

Bapa arwah, Mohamad Yusoff Ismail, menerima skrol anaknya yang diserahkan wakil KPTM-Kesedar.

GUA MUSANG – Kolej Poly Tech Mara (KPTM-Kesedar) mengadakan lawatan ziarah dan tahlil ke rumah keluarga pelajar yang kembali ke rahmatullah baru-baru ini.

Pelajar semester enam, Allahyarhamah Nor Shahira Amanie Mohamad Yusoff, 23, berasal dari Kuala Krai, meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya di Machang.

Rombongan kali ketiga ini diketuai Timbalan Pengarah Akademik, Saburiah Mamat, pensyarah, pegawai akademik dan Hal Ehwal Pelajar (HEP).

Dalam program ziarah itu, Saburiah menyampaikan salam takziah kepada arwah dan menyampaikan skrol Diploma Pengurusan Sumber Manusia.

“Arwah sedang menjalani Praktikal di Pejabat Tanah Kuala Krai. Namun, sebagai menghargai komitmennya dalam akademik, kita tetap menganugerahkan diploma ini.

“Sepanjang sesi pembelajaran, arwah pelajar yang cemerlang dan baik. Malah kawan-kawan juga amat menyenanginya,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas bacaan tahlil dan penyerahan skrol yang diterima Allahyarham sempena Majlis Konvokesyen KPTM ke-34 baru-baru ini kepada keluarganya.

Pada 31 Ogos lalu, Shahira maut apabila kereta yang dinaiki bersama tunangnya terlibat dalam kemalangan jam 5 pagi, di Kilometer 47, Jalan Machang-Kuala Krai.

Mangsa maut di tempat kejadian manakala tunangnya, Khairul Fikri Ramli, 27, cedera apabila kereta yang dinaiki mereka hilang kawalan lalu dirempuh sebuah kereta lain.

Mereka dari arah Kota Bharu menghala ke Kuala Krai selepas menghadiri sambutan malam kemerdekaan bersama rakan-rakan kelab kereta Honda yang disertainya.

Dikhabarkan pasangan ini bakal mendirikan rumah tangga selepas mengikat tali pertunangan dan tamat pengajian.

 

Sumber : http://www.sinarharian.com.my/kampus/tahlil-buat-pelajar-maut-nahas-1.767272

Advertisements
This entry was posted in Pendidikan and tagged . Bookmark the permalink.