KKLW sedia bantu hadapi banjir gelombang kedua di Pantai Timur

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (tengah) ketika Majlis Pelancaran ‘Survival Kit’ Prihatin@ KKLW di Universiti Kuala Lumpur (UniKL) hari ini. – Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Gelombang kedua banjir dijangka bakal melanda negeri di Pantai Timur Semenanjung Jumaat ini.

Sebagai persediaan, Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) akan mengedarkan ‘survival kit’ kepada mangsa banjir terutamanya mereka yang tinggal di kawasan luar bandar.

Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata gelombang kedua banjir dibimbangi mengakibatkan kesan lebih buruk kepada mangsa.

“Kita bimbang ada gelombang kedua jadi, kita bersedia lebih awal. Jumlah sukarelawan kita pun dah bertambah untuk bersiap sedia jika berlaku banjir di Pantai Timur,” katanya semasa melancarkan Survival Kit Prihatin @ KKLW di UniKL pada Rabu.

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bersama sukarelawan KKLW meneliti barangan yang dimasukkan ke Kit Ikhtiar Hidup

Jelasnya, survival kit ini penting sebagai memenuhi keperluan asas diri ketika di pusat pemindahan mahupun setelah pulang ke kediaman pasca banjir.

Sebanyak 4,000 pakej survival kit disediakan yang mengandungi barangan keperluan asas seperti tuala, sabun, syampu, berus dan ubat gigi, lampu suluh dan bateri, kain sarung, snek, air mineral dan juga mini first aid.

Sehingga kini, seramai 4,416 Sukarelawan Prihatin @ KKLW terbabit dalam misi bantuan banjir sejak 14 November lalu membabitkan negeri Kelantan, Terengganu, Pahang serta Pulau Pinang.

 

Sumber : http://www.astroawani.com/berita-malaysia/kklw-sedia-bantu-hadapi-banjir-gelombang-kedua-di-pantai-timur-162216

Advertisements
This entry was posted in Lain-Lain and tagged . Bookmark the permalink.