Pak Jamu jelajah lebih 35 negara

Pak Jamu

BELIAU mendapat pendedahan didikan mengenai misi kemanusiaan sejak di bangku sekolah rendah lagi di kampung halamannya di Kampung Linau Besar, Bukit Pasir, Batu Pahat, Johor.

Dari hanya tolong-menolong masyarakat setempat semasa dalam pasukan pengakap, masuk ke sekolah menengah remaja ini ketika itu aktif pula mempelajari asas menyelamat semasa terlibat pasukan Palang Merah.

Tamat tingkatan lima dan berpeluang belajar ke Institut Kemahiran Mara (IKM), penglibatannya bersama badan-badan amal yang membuat kerja-kerja kebajikan tidak terhenti.

Mendapat Anugerah Pelajar Terbaik di IKM, beliau ditawarkan untuk tahun kedua di Institut Teknologi Mara (sekarang UiTM) dalam bidang Kejuruteraan Sivil.

Jiwa menebal dalam kerja-kerja sukarela, tamat belajar pada tahun 1986, beliau keluar sebagai anak kampung terdidik yang membantu menguruskan jenazah penduduk.

Sehinggalah pada 1990, beliau berjumpa rakan-rakan aktif membuat kerja amal dan bersama mereka selama 10 tahun serta terlibat dengan pelbagai misi kemanusiaan dalam negara.

Akhirnya selepas 10 tahun, hasil perbincangan bersama, pada 2001 tertubuhnya Yayasan Amal Malaysia (Amal Malaysia).

Dengan semangat kesukarelawannya sejak kecil, melalui medium Amal Malaysia ini, Timbalan Presiden Yayasan Amal Malaysia, Ir Jamuliddin Elias, 54, atau lebih mesra dengan gelaran Pak Jamu semakin mengembangkan sayapnya dalam pelbagai misi kemanusiaan, bukan sahaja di dalam malah di luar negara.

Orang pertama

Jika sebelum ini peranan Amal Malaysia hanya bermula dengan bantuan kecil termasuk mengadakan ibadah korban dalam negeri kepada golongan memerlukan, selepas 2001 setahun sekali ia dijalankan di Kemboja. Kadang diajak bersama oleh pihak swasta atau korporat.

“Selepas 2004 peranan kita jadi sangat besar, bila mana kita dapat link dengan NGO-NGO luar negara. Di situ juga kami banyak belajar dengan NGO-NGO antarabangsa. Pada 2004, salah satu tugasan kita agak besar semasa tsunami di Acheh, di situ kami terdidik kerana berdepan dengan kira-kira 1,500 NGO.

“Setakat ini telah lebih 40 negara Amal Malaysia terlibat dan saya sendiri ke lebih 35 negara berdepan misi bencana seperti gunung berapi, gempa bumi, banjir, lokasi pelarian perang, tanah runtuh dan pelbagai lagi,” kata Pak Jamu.

Apatah lagi memegang jawatan Pengarah Pengurusan Bencana & Bahagian Kesukarelawan NGO itu, ia menuntut Pak Jamu menjadi orang pertama turun ke sesuatu lokasi mewakili Amal Malaysia.

Tragedi tsunami pada 2004 di Acheh antara pengalaman berharga dikutip Pak Jamu sejak awal penglibatan Amal Malaysia dalam misi kemanusiaan di luar negara.

Menubuhkan hospital mini di Lamlagang Aceh Besar, Banda Aceh, Indonesia dan berdepan hingga 1,500 pesakit sehari di situ, melalui latihan diterima, beliau sendiri perlu menjadi ‘doktor’ (paramedik) terutama untuk mencuci dan menjahit luka pesakit.

“Waktu itu juga bila jadi sukarelawan, kami sanggup buat apa saja diarahkan sesiapapun.

“Tapi saya gembira dengan praktikal itu saya dapat penghormatan, beri rawatan sambil diperhatikan seorang nurse misalnya, masa perang antara Lebanon dengan Israel. Akhirnya saya dapat ‘lesen’ keluar ke lapangan. Sebenarnya memang saya nak ke lapangan sebab di situlah baru kita feel. Turun dari rumah ke rumah yang telah hancur,” katanya.

Terbaharu, antara misi kemanusiaan diperjuangkan Pak Jamu adalah membantu etnik Rohingya di Asean Village yang sudah ditukar kepada Sinar4rohinya The village of Hope, di Bangladesh.

Menjayakan program dengan kerjasama Kumpulan Media Karangkraf bagi kutipan dana SINAR4ROHINGYA, selain Amal Malaysia, turut terlibat Pertubuhan Kebajikan Serantau Muslim (Serantau Muslim), Pertubuhan Himpunan Lepasan Institusi Pendidikan Malaysia (Haluan) dan Majlis Perunding Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) Selangor.

“Kalau sebelum ini saya banyak kutip pengalaman sebagai paramedik, kebetulan Yayasan Amal beri mandat saya sebagai Ketua Bencana Alam, jadi perlu tinjau dahulu kawasan lokasi. Di sini selain mental dan fizikal, peralatan dibawa perlu tidak berunsur ketenteraan seperti senjata.

“Tetapi khusus untuk Rohingya, pengalaman saya sejak 2012-2016, saya hanya boleh beri bantuan makanan kerana lain tak boleh buat, sebab semua dikawal tentera. Di luar pun susah, tapi bermula Disember 2016 sehingga Mac lalu, saya dah boleh implementasikan bantuan ikut pandangan saya,” katanya.

Lebih gemar memberi ‘pancing berbanding ikan’ kepada golongan ini, selain membantu pelarian Rohingya di Arakan dengan memberikan mesin jahit bagi tujuan naik taraf sosial dan ekonomi, ilmu kejuruteraan sivilnya selama 13 tahun sebagai kontraktor dalam membuat bangunan ada padanya diperturunkannya untuk menjalankan projek batu blok.

Penghasilan batu blok, bancuhan simen dan pasir diajar bagi memudahkan kerja membina bangunan. Dari situ mereka mendapat upah bila ia dijual dan pulangan tabung dana pada ibu tunggal serta anak yatim, selain sekolah tahfiz pelarian.

“Kuasa membeli ada, terfikir bila bantu mereka berniaga jajan di tempat pelarian Cox’s Bazar, Bangladesh. Ratus ribu orang luar masuk mesti ada pulangan untuk dapat pendapatan teruskan hidup.

“Buat perusahaan jajan dan makanan juga dapat membantu mereka,” katanya yang menegaskan pendidikan wajib diberi kepada pelarian, kerana jika tidak, dalam tempoh lama mereka akan ‘rosak’.

Hasil pulangan sebahagian projek batu blok itu digunakan bagi membayar elaun guru dan membina madrasah.

Tiada balasan

Berkongsi pengalamannya sehingga sekarang dalam misi kemanusiaan, Pak Jamu berkata, mental dan fizikal perlu sedia.

Berdepan jenazah terbakar, mangsa mati dalam banjir, maut terperangkap dalam bangunan dan sebagainya, beliau kini lali menguruskannya dengan teknik dan tip serta pakaian keselamatan lengkap.

“Berdepan pesakit pula, kita perlu lebih psikologi, banyak kata-kata berbanding implement ubat. Misalnya jika mangsa umat Islam, ingatkannya serahkan segalanya pada ALLAH dan banyak berzikir.

“Bagi sukarelawan, ilmu juga mesti ada. Buat kerja tak ada upah, tapi ALLAH bagi tunai. Seperti saya sebagai usahawan, ada katering, jual ikan fresh, sewakan khemah, syukur di situ tak putus rezeki ALLAH beri,” katanya yang tinggal di Klang, Selangor ini.

Melihat dari sudut berbeza, beliau percaya, doa orang teraniaya dimakbulkan ALLAH dan percaya kemudahannya menguruskan keluarga berkat doa golongan dibantu berkenaan.

Mengulas bantuan diberi, menurutnya kebanyakannya melibatkan negara miskin, namun bersyukur penglibatan dengan NGO luar membuka ruang mempelajari banyak ilmu bantuan dan menyelamat untuk diaplikasikan dalam negara.

Semasa misi kemanusian bantuan gempa bumi di Afghanistan.

“Seorang yang keluar membantu di luar negara tidak menjejaskan. Membantu dalam negara ni memang jadi keutamaan kami. Beradanya saya di Bangladesh semasa banjir besar di Pulau Pinang, di belakang saya ada 1,000 sukarelawan yang sedang bertugas.

“Ini disebabkan ada dua kategori sukarelawan kita, pertama yang berdaftar terus dengan kita dan kedua, mereka spontan jadi sukarela kerana kita buat pengurusan untuk membantu,” katanya.

Menurutnya, lebih menggembirakan, sejak lima tahun lalu NGO mempunyai hala tuju sama mula bergabung dan mengagihkan kepakaran masing-masing.

Bapa kepada 10 anak berusia antara tujuh hingga 28 tahun ini mahu terus terlibat dengan misi berkaitan selagi hayat dikandung badan, apalagi mendapat sokongan isteri, Ros Fazilah Mohd Noor, 51.

Yayasan kini masih membantu pelarian dan mangsa perang di Gaza, Syria, Myanmar dan Merawi, Filipina.

 

Sumber : http://www.sinarharian.com.my/rencana/pak-jamu-jelajah-lebih-35-negara-1.766814

 

Advertisements
This entry was posted in Pendidikan, Usahawan and tagged . Bookmark the permalink.