Sumbang 44,400 beg sekolah

Ismail Sabri (tengah), bergambar bersama penerima ketika Majlis Pelancaran Program ‘Back To School’

SERAMAI 44,400 pelajar dan murid dari seluruh negara menerima sumbangan beg sekolah bernilai RM1.8 juta menerusi Program ‘Back To School 2018’ YPM@KKLW.

Program kali ketiga anjuran Yayasan Pelajaran MARA (YPM) serta Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) itu menyasarkan penerima daripada keluarga miskin dan kurang bernasib baik terutama golongan B40 (pendapatan purata bulanan di bawah RM3,860).

Menteri KKLW Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sebanyak 38,200 beg sekolah akan diagihkan ke semua 191 UMNO Bahagian dengan setiap bahagian menerima 200 beg sekolah yang mana penerimanya dikenal pasti oleh Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian masing-masing.

Katanya, bagi Sarawak pula, pihaknya bekerjasama dengan Pemuda PBB di bawah kepimpinan Datuk Seri Fadillah Yusof.

“Saya dapat jaminan daripada Pengerusi YPM yang baharu (Datuk Zahida Zarik Khan) beg sekolah akan sampai ke setiap bahagian sebelum sekolah bermula.

“Walaupun pemberian kita tidak banyak, saya percaya setiap bahagian ada program ‘Back to School’ masing-masing.

“Ini sebahagian daripada sumbangan dan perhatian KKLW untuk mengubah destini anak bangsa yang tidak dapat lari daripada pendidikan,” katanya ketika berucap melancarkan Program ‘Back ToSchool’ YPM@KKLW sempena Perhimpunan Agung UMNO 2017 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur, hari ini.

Hadir sama Timbalan Menteri KKLW, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub; Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Awang Adek Hussin; Ketua Pergerakan Puteri UMNO, Datuk Mas Ermieyati Samsudin dan Ketua Penerangan Pergerakan Pemuda UMNO Jamawi Jaafar.

Dalam perkembangan berkaitan, Ismail Sabri yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO berkata, banyak kemajuan dalam bidang pendidikan hari ini bermula daripada parti itu.

“Saya percaya banyak dasar pendidikan negara datangnya daripada usul yang dibahaskan secara khusus dalam Perhimpunan Agung UMNO setiap tahun.

“Banyak polisi kerajaan hari ini adalah hasil perbahasan dan usul yang dibawa UMNO sendiri,” katanya.

Sumber : https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2017/12/290780/sumbang-44400-beg-sekolah

Advertisements
This entry was posted in Lain-Lain and tagged , . Bookmark the permalink.