Hazizul Abdul Aziz terpanggil untuk menceritakan kisah Puteri Saadong menerusi sepersalinan busana indah nan mewah pada pertunjukan fesyen Mara In Fashion Runway 2017

Busana ini diinspirasikan daripada kisah pengorbanan legenda Puteri Saadong.

KISAH Puteri Saadong merupakan cerita legenda seorang puteri dari Kelantan yang menjadi rebutan banyak pemerintah negara.

Namun, ia sering dibayangi kisah legenda lain seperti Cik Siti Wan Kembang.

Hinggakan, rata-rata masyarakat kini kurang mengetahui kisah mengenai pengorbanan Puteri Saadong.

Sehubungan itu, pereka fesyen dari Bukit Raja, Klang, Selangor, Hazizul Abdul Aziz, 30, terpanggil untuk menceritakan kisah tersebut menerusi sepersalinan busana indah nan mewah pada pertunjukan fesyen Mara In Fashion Runway 2017 di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Koleksi The Unsung Princess itu sarat dengan falsafah serta metafora yang berupaya mengimbas kisah legenda Puteri Saadong.

“Rekaan eksklusif ini khusus untuk golongan wanita yang cintakan gaya anggun, lembut dan feminin.

“Ia diperbuat daripada fabrik sut sintetik berserat semula jadi, batik dengan motif corak lima dan raja segala kain iaitu sutera satin.

Tambat hati
“Gabungan kesemua karakter tersebut berupaya menyerlahkan lagi kekuatan penceritaan kisah legenda Puteri Saadong sekali gus memberi kesan dalam hati masyarakat,” jelasnya ketika ditemui di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Koleksi The Unsung Princess yang dihasilkan oleh Hazizul nyata membuka mata pengunjung sehingga Hazizul memperoleh Anugerah Pereka Harapan Terbaik pada pertunjukan fesyen tersebut.

Sementara itu, pereka muda dari Kulai, Johor, Abdul Rahman Safe’ei, 25, tidak melepaskan peluang menambat hati pengunjung menerusi rekaan koleksi Art of Cubism.

Kata Abdul Rahman, koleksi baju korporat itu diinspirasikan daripada lukisan kubik pelukis ikonik, Pablo Picasso sekitar tahun 1920-an.

“Koleksi ini menggabungkan teknik-teknik seperti geometri, panel dan patch.

“Bagi menambahkan lagi daya penarik dalam busana inspirasi ini, saya gunakan warna-warna terang supaya lebih menyerlah.

“Dari segi fabrik pula, saya gunakan gentian bulu biri-biri likra, kulit dan PVC,” jelasnya.

Paduan fabrik berkenaan adalah sebagai mengutamakan keselesaan si pemakai dan pada masa sama mampu tampil menarik.

Kongsi Abdul Rahman, koleksi tersebut disasarkan kepada golongan profesional urban berumur dalam lingkungan 25 hingga 35 tahun.

Menggondol Anugerah Pereka Terbaik pada pertunjukan itu, Abdul Rahman menyifatkannya sebagai batu loncatan dalam mengembangkan lagi kariernya.

Abdul Rahman berharap suatu hari nanti dapat menghasilkan koleksi sedia pakai dengan corak kubik dalam skala besar supaya dapat memenuhi permintaan khalayak yang mahu menggayakan busana eksklusif.

Sumber : http://www.kosmo.com.my/k2/stailo/kisah-puteri-saadong-kubik-tema-pilihan-pereka-1.566643

Advertisements
This entry was posted in Usahawan and tagged . Bookmark the permalink.