Lahir jurutera Teknologis Marin Huffaz

PELAJAR-PELAJAR UniKL MIMET yang memilih untuk mengikuti Program Ulul Albab sebagai nilai tambah yang diterapkan dalam usaha melahirkan generasi masa depan seimbang dari segi kecemerlangan akdemik dan ilmu agama.

SOAL mendidik anak dalam zaman teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) ini amat mencabar kerana mereka terdedah kepada asakan daripada pelbagai sudut.

Justeru, kebanyakan ibu bapa dewasa ini cenderung menghantar anak-anak mereka ke pondok atau Pusat Tahfiz atas alasan sebagai ‘senjata pelindung’ untuk anak masing-masing daripada terjebak dengan anasir-anasir negatif.

Sedangkan pendidikan itu sepatutnya harus seiring dengan pembangunan potensi anak-anak supaya ilmu dan kemahiran yang dimiliki relevan dengan zaman dan cabaran perubahan.

Anak-anak ini sebenarnya memerlukan corak pengajian tingkat tinggi supaya ilmu yang dimiliki dapat dimanfaatkan dengan lebih berkesan dan dapat terus me­nyumbang ke arah pembangunan umat Islam dan tamadun.

Menyedari hakikat itu, Universiti Kuala Lumpur (UniKL) me­ngorak langkah memperkenalkan Program Teknologis Huffaz UniKL Ulul Albab sejak tahun lalu bagi memberi peluang kepada pelajar institusi tersebut menjadi seorang hafiz al-Quran.

Malah, langkah tersebut juga memberi alternatif baharu untuk pelajar dan ibu bapa di negara ini ke arash melahirkan generasi se­imbang dari segi kecemerlangan akademik, ilmu agama dan berkeperibadian Islam.

Pada masa ini, lapan daripada 12 kampus UniKL di seluruh negara telah menawarkan Program Teknologis Huffaz Ulul Albab.

Antara kampus terbaharu mem­perkenalkan program tersebut ialah Universiti Kuala Lumpur Malaysian Institute of Marine Engineering Techonolgy (UniKL MIMET) di Lumut, Perak.

Menurut Penyelaras Program Ulul Albab UniKL MIMET, Zikro Othman, pengambilan pertama pelajar telah dilakukan pada September lalu melibatkan 15 mahasiswa yang sebahagiannya tidak mempunyai asas dalam hafazan.

Tambah Zikro, bagi mengikuti program itu, mahasiswa yang berminat perlu lulus dalam u­jian kelayakan hafazan sebelum mengikuti kelas tersebut dengan menjalani kuliah akademik seperti biasa dan ditambah menghadiri kelas hafazan pada sebelah pagi.

Kata beliau, para pelajar diper­untukkan masa 10 jam seminggu untuk bersama guru tahfiz serta mengikuti modul persediaan khas yang dihasilkan oleh pihak UniKL.

“Pengendalian program tersebut akan diselia dan dipantau oleh seorang penyelaras program iaitu pensyarah serta guru tahfiz yang ber­kelayakan dan diiktiraf oleh pihak Darul Quran.

“Setakat ini semua pelajar terutama yang ‘kosong’ dalam hafazan dilihat menunjukkan pencapaian yang amat memberangsangkan apabila rata-rata mereka telah ber­jaya menghafaz lebih satu juzuk.

“Kita yakin momentum itu akan bergerak lebih cepat selepas ini apabila mereka berjaya me­nguasai teknik dan cara menghafaz yang betul,” katanya ketika ditemui di Pusat Islam UniKL MIMET, Lumut, Perak baru-baru ini.

Menurut Zikro, selain memiliki ijazah dalam bidang kejuruteraan marin, pelajar yang telah lengkap hafazan sebanyak 30 juzuk akan menduduki ujian Sijil Tahfiz Malaysia yang akan dikendalikan secara koordinasi bersama Darul Quran, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Tambah beliau, sepanjang me­ngikuti program berkenaan selama empat tahun, pelajar juga hanya perlu membayar sebanyak RM180 iaitu kos untuk mengambil Sijil Tahfiz Malaysia.

Kata beliau, tiada yuran lain dikenakan oleh UniKL bagi pelajar yang terpilih kerana mereka yang layak akan menerima dermasiswa dari Yayasan Majlis Amanah Rakyat (Mara) atau penaja lain.

“Bayangkan, mereka ini bukan sahaja akan mendapat ijazah dalam bidang Kejuruteraan Marin, malah mendapat nilai tambah yang amat berguna untuk masa depan mereka iaitu Sijil Tahfiz Malaysia.

“Itulah pengiktirafan yang akan diperoleh mahasiswa ber­kenaan selepas bergelar Jurutera Teknologis Marin Huffaz di UniKL MIMET,” katanya.

Kta Zikro, mahasiswa yang mengikuti program itu juga akan diberi ruang un­tuk mempraktikkan hafazan serta bergiat aktif dalam aktiviti lain yang diadakan di Pusat Islam kampus masing-masing.

“UniKL MIMET juga berhasrat memberi lebih pendedahan kepada pelajar melalui aktiviti mobiliti sama ada di dalam atau luar negara.

“Sebagai contoh, menjadi imam tarawih di Kemboja atau ter­libat dalam program ibadah korban di Thailand, selain melakukan perkara sama di kampung-kampung di seluruh negara,” katanya.

Menurut Zikro, program tersebut diper­kenalkan sejajar dengan hasrat UniKL untuk menyediakan ruang dan platform bagi golongan hafazan yang berminat melanjutkan pengajian dalam bidang teknikal.

Malah, kata beliau, ia juga un­tuk memberi peluang pelajar mengekal dan meneruskan ha­fazan mereka terutamanya pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau diploma khususnya pelajar lepasan tahfiz dari Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Ulul Albab, Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) dan juga sekolah-sekolah agama atau maahad tahfiz.

Menurutnya, pengambilan ba­haru akan diadakan dua kali setahun iaitu pada September dan Januari, yang mana UniKL MIMET menetapkan sasaran untuk mengambil 30 mahasiswa sahaja bagi setiap pengambilan untuk memastikan kualiti program yang dijalankan.

Selain Zikro, terdapat seorang lagi pensyarah yang bertindak sebagai penyelaras bagi program tersebut iaitu Muhammad Ashraf Mat Salam yang merupakan lulusan Jamia Faizul Uloom Ul Islamia di Durban, Afrika Selatan.

Menurut pelajar Ijazah Tek­nologi Kejuruteraan Seni Bina dan Reka Bentuk Kapal, UniKL MIMET, Tuan Muhammad Nur­kholish Tuan Anuwa, 21, mengikuti program Ulul Albab tidak memberi sebarang gang­guan padanya untuk mencapai matlamat asal memperoleh ijazah.

Malah, kata Tuan Muhammad Nurkholish, menghafaz al-Quran menjadikan dia lebih berdaya s­aing, selain mampu mengingati pelajaran dengan mudah.

“Program ini juga memberi peluang untuk saya meneruskan usaha menjadi hafiz setelah terbantut seketika apabila memasuki sekolah agama biasa ketika di tingkatan empat dan lima,” katanya.

Rakannya, Ahmad Ainul Syafiq, 19, pula berkata, dia akan menggunakan peluang itu untuk menjadi seorang hafiz al-Quran bagi memenuhi impian ibunya.

“Saya memang berminat untuk menjadi seorang hafiz sejak dari kecil lebih-lebih lagi ia juga merupakan impian dan hasrat ibu.

“Memang agak sukar kerana saya tiada langsung asas dalam hafazan, namun Alhamdulilah, setakat ini semua berjalan de­ngan baik dan saya sudah berjaya menghafaz satu juzuk,” katanya.

Pelajar Ijazah Teknologi Kejuruteraan Marin Elektrik dan Elek­tronik, Nur Afifah Azhari, 19, berkata, pada mulanya dia merasa sedikit payah kerana tidak tahu teknik hafazan yang betul selain hanya bersekolah di sekolah agama harian.

“Sedikit demi sedikit saya berjaya memperoleh rentak yang betul dalam menghafaz. Lagi pula kami menghafaz selepas subuh sehingga pukul 8 atau 9 pagi. Keadaan yang tenang ini secara tidak langsung memudahkan usa­ha tersebut,”katanya.

Rakan sekuliahnya, Nur Ilham Nashiah Azman, 19, pula berkata, dia telah menghafaz 30 juzuk al-Quran semasa berada di MRSM Ulul Albab di Kepala Batas, Pulau Pinang.

“Program ini memberi peluang untuk saya mengulang semula hafazan. Namun, ia sedikit sukar sebenarnya berbanding kita menghafaz surah-surah yang baharu. Alhamdulilah setakat ini saya istiqamah,” katanya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/pendidikan/kampus/lahir-jurutera-teknologis-marin-huffaz-1.564734#ixzz50FpV0FhC

Advertisements
This entry was posted in Pendidikan and tagged . Bookmark the permalink.
%d bloggers like this: