Beri peluang belia sebagai pembuat keputusan

PELAJAR Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Putra Mohd Nor Ridzwan Azhar (berdiri) ketika sesi perbahasan pada Persidangan Kepemimpinan Mahasiswa Nasional (PEMANAS) 5.0 di Kuala Lumpur, hari ini. – Foto Aswadi Alias

KUALA LUMPUR: Seorang perwakilan Persidangan Kepemimpinan Mahasiswa Nasional (PEMANAS) 5.0 mengesyorkan belia diberi peluang sebagai pembuat keputusan sebagai langkah meremajakan kepemimpinan negara.

Pelajar Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Putra Mohd Nor Ridzwan Azhar yakin belia dapat memainkan peranan sebagai individu penting dalam entiti tertentu, sekali gus menjadikan parti atau organisasi serba boleh dan fleksibel.

“Jika wanita boleh diberi peluang dan ruang memegang jawatan tertinggi dalam kerajaan dan sektor korporat, mengapa tidak peluang sama dibuka kepada belia?

“Dalam hal tertentu misalnya membabitkan perihal anak muda dan landskap masa kini, hanya kami (belia) yang memahami.

“Sekiranya belia diberikan peluang, dengan potensi yang ada, kita sedia diajar, dilatih dan dipantau untuk meraih pengalaman.

“Belia bukan sekadar mahu menyuarakan pendapat, malah kita ingin mendapat pendedahan sebagai pembuat keputusan mahupun pelaksana,” katanya ketika sesi perbahasan usul Politik Alaf Baharu Buka Peluang Kepada Anak Muda Memacu Institusi Kerajaan dan Swasta di sini, hari ini.

Cadangan itu disokong seorang perwakilan juga pelajar dari UniKL, Amy Ezreen Sazalee yang berpendapat ‘orang lama’ memerlukan suntikan orang muda.

Katanya, ini kerana golongan veteran perlu memahami dan mendalami kehendak serta aspirasi orang muda dan bukan berniat mendominasi golongan veteran.

Beliau memetik kata seorang tokoh terkemuka, `kita tidak boleh selalu membina masa depan untuk belia, tetapi kita boleh lahirkan belia untuk menerajui masa depan’.

 

Sumber : https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2017/12/358229/beri-peluang-belia-sebagai-pembuat-keputusan

Advertisements
This entry was posted in Pendidikan and tagged . Bookmark the permalink.