Trend animasi cosplay

Nur Adila (dua, kanan) semasa UniKL Cosplay Day 2017.

PERNAHKAH anda melihat orang meniru gaya atau memadankan diri dengan watak-watak dalam komik atau animasi? Inilah dipanggil cosplay. Istilah cosplay adalah daripada gabungan perkataan Inggeris costume dan play.

Cosplay bermakna menggayakan pakaian bersama dengan aksesori dan solekan yang dipakai oleh watak-watak dalam animasi, cerita dongeng, permainan video, penyanyi idola dan pemuzik, dan kartun serta pelbagai idea lagi.

Kini budaya cosplay yang bermula di Jepun ini kian menular di seluruh dunia, termasuk di negara kita. Biasanya apa ditiru ialah watak-watak dari rekaan popular di Jepun, dan trend baru-baru ini termasuk kartun Amerika dan fiksyen sains.

Setakat ini, orang kita hanya dilihat meniru budaya yang jadi ‘makanan’ orang Jepun ini dek kerana ia bermula dari negara matahari terbit berkenaan. Budaya cosplay terkait bidang animasi kini semakin berkembang di Malaysia khususnya melalui tawaran kursus berkaitan di IPT.

Bukan cosplay ‘suka-suka’

Seiring budaya cosplay sedang berkembang di banyak negara, orang kita di sini juga tidak ketinggalan turut serta merancakkan industri berkaitan terutamanya dengan penglibatan golongan muda.

Menariknya, kebanyakan IPT di negara kita juga sudah mula menawarkan subjek berkaitan reka bentuk karakter termasuk cosplay ini terutama di bawah fakulti animasi.

Bagaimanapun masih terlalu kurang karakter bercirikan atau beridentitikan adiwira mahupun animasi dihasilkan anak seni tempatan yang diangkat, berbanding hanya meniru watak-watak popular dari luar negara.

Pensyarah Fakulti Animasi, Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Adi Bunyamin Ahmad Zamzamil tidak menafikan, budaya cosplay ini telah lama berkembang termasuk di Malaysia, namun cuma baharu dilihat kira-kira 10 tahun lalu.

“Kalau nak lihat bidang animasi masih kurang berkembang di Malaysia, tapi alhamdulillah sudah nampak beberapa syarikat dalam negara berjaya menghasilkan produk berciri identiti dan karakter tempatan.

“Sekarang pun ada karakter-karakter baharu seperti Kluang Man, BoBoiboy, Ejen Ali yang jadi ikonik super hero kita masa ini. Harapannya lebih banyak produk-produk tempatan sebegini dihasilkan,” katanya yang ditemui semasa UniKL Cosplay Day 2017, di UniKL, ibu negara, baru-baru ini.

Dalam pada itu, susulan di Malaysia masih kurangnya karakter jadi perhatian, harapannya dalam tahun-tahun akan datang, lebih ramai misalnya adiwira tempatan yang dikagumi dan boleh diterima semua masyarakat negara ini dapat direka cipta.

Adi tidak menolak seboleh-bolehnya tidak mahu anak muda hanya melihat cosplay berkait animasi dari negara Jepun sahaja, sebaliknya diperluaskan mengikut karakter komik, permainan video, filem dan sebagainya kerana menyifatkan bidang ini terlalu luas.

“Dengan meluasnya karakter tempatan yang diketengahkan, budaya cosplay di Malaysia akan lebih meriah, dengan watak dan identiti masyarakat di negara ini.

“Memang cosplay berasal dari Jepun tapi semua orang boleh cosplay. Semua boleh cuba jadi pelbagai karakter, tak semestinya karakter dari Jepun. Apa menarik, kita bukan hanya sama-sama enjoy pakai kostum, tetapi penuntut belajar bagaimana nak menghasilkan kostum itu. Event cosplay diadakan hari ini pun semua adalah proses belajar dan pengalaman untuk kita,” katanya.

Dipandang negatif

Sering dilihat tidak mendatangkan faedah dan membuang masa, itu tanggapan biasa masyarakat terhadap mereka menjadi pemain cosplay dan menceburi bidang berkaitan demi menghasilkan karakter berkostum ni.

Adi berkata, sering menerima persoalan mereka yang mempertikaikan pulangan atau kelebihan apabila melibatkan diri dengan cosplay.

“Saya selalu dapat soalan macam tu… sebab ramai lihat cosplay ini benda negatif. Mungkin orang yang tak mengikuti perkembangannya, mereka tak biasa dengan budaya (cosplay) kami ini.

“Sedangkan ini memang kerja kita, kena kenal, lukis, menghayati, mencipta karakter dalam masa sama pastikan pakaian dipakai mereka betul dan sebagainya. Nak kata dapat faedah pada semua cosplay ini pada saya di Malaysia ia masih niche dan hanya melibatkan mereka yang minat sahaja.

“Nak kata faedah pada semua tu mungkin belum sebab ramai lagi tak faham. Di negara kita masih kurang orang yang fahami seni, apalagi cosplay,” katanya yang memakai dan menghasilkan sendiri pakaian dari karakter permainan video Overwatch Soldier 76.

Peserta dan AJK UniKL Cosplay Day.

Berpengalaman selama tujuh tahun dalam industri animasi sebelum menjadi pensyarah, beliau turut mengajar cara menghasilkan reka bentuk karakter, termasuk baju cosplay sendiri kepada penuntut terbabit.

Percaya masa depan cosplay semakin meluas, menurutnya sekarang pun anak muda di negara ini sudah bijak mengadaptasi budaya tempatan dengan semakin ramai penglibatan cosplayer berhijab.

“Mereka berhijab pun berjaya penuhi kehendak cosplay. Macam hari ini, dari karakter Overwatch, seorang peserta ni pakai hijab, tapi nampak seperti karakter sebenar. Ramai cakap cosplay ini benda negatif, fikir buang masa dan persoal apa faedahnya, tak dinafikan ramai kata begitu.

“Tapi mungkin mereka tak faham, contohnya bila menghasilkannya, kita belajar dalam suasana seronok, dapat ilmu baru dan berguna untuk karier kita pada masa depan dalam bidang berkaitan. Ramai boleh terlibat bidang kreatif, bila cosplayer dapat tajaan, boleh jadi sumber pendapatan,” katanya.

Mengulas program dianjurkan, menurutnya, ini kali kedua acara ini diadakan, di mana ia bermula dari kelasnya hingga akhirnya ditubuhkan sebuah kelab yang melibatkan penuntut animasi.

Baru setahun penubuhan kelab, beliau bersyukur penglibatan peserta semakin meningkat berbanding tahun sebelumnya, malah acara dibuka kepada orang luar.

“Dalam acara kali ini, ada peserta dari UniKL kampus lain dan penuntut-penuntut dari IPT lain. Tahun akan datang, kita harap dapat buat event lebih besar. Bila kelab lebih dikenali dan pendedahan bidang animasi termasuk cosplay ini semakin meluas, akan datang mungkin kita lebih dapat perhatian dan tajaan.

“Pendedahan dan peluang kerjaya ada di bidang ini juga kita banyak sebarkan semasa pertunjukan animasi dan pergi ke sekolah-sekolah. Ramai ibu bapa risau tiada peluang kerja bila anak mereka cenderung ke bidang ini,” katanya.

Bagaimanapun menurut pensyarah yang juga Penasihat Kelab Animasi digelar Grand Master ini, biarpun teringin ke bidang ini perlu menjadi seorang yang kreatif, namun paling penting adalah mereka mempunyai minat mendalam berkaitan terlebih dahulu.

Dapat mendidik

Presiden Kelab Animasi UniKL, Nur Adila Muhd Affendy, 23, pula berpandangan budaya cosplay di Malaysia ini baharu hendak dikenali.

Bagi dirinya, bidang animasi diceburinya kerana minat sejak kecil melihat karakter berkaitan terutama sekali melalui kartun dan anime.

“Bila buat cosplay ini kita dapat belajar sambil have fun. Memang mereka nampak kita seperti suka-suka, main-main, membazir wang dan masa, tak ada faedah dan ada rasa over sangat.

“Tapi dari segi kos misalnya ikutkan tak banyak. Cuma perlu kreatif. Kalau yang buat betul-betul tu memanglah tidak dinafikan mahal. Apa pun bagi saya semuanya bergantung kepada minat kita,” katanya yang ditemui pada majlis sama dengan kostum berkarakter flower girl.

Menyifatkan kerjaya di bidang animasi yang berkait cosplay masih meluas, justeru baginya masih ada ruang besar untuk diceburi dalam bidang berkenaan.

Terlibat dalam bidang berkaitan, baginya dia dan rakan-rakannya juga sedikit sebanyak membantu memeriahkan mereka di industri ini dan penglibatan dalam cosplay sebagai salah satu daripada pendekatannya.

“Saya harap bidang ini makin besar dan membuka ruang kerjaya sekali gus menambah pendapatan negara. Kalau besarkan, baru kita nampak keperluannya… Bagi saya perlu. Bagaimana kita lihat keperluan jual beli, begitu juga keperluan ramaikan pemain bidang ini.

“Bagi saya juga melalui animasi kita dapat sampaikan maklumat dan mendidik terutama kepada golongan kanak-kanak dan generasi mendatang,” katanya.

Cosplay berkait rapat dengan bidang animasi.

Dalam masyarakat kita, jika bangsa lain lebih terbuka dengan budaya cosplay, menurut Adila orang Melayu dikatakan masih ada kekangan disebabkan persepsi tertentu, antaranya orang memakai tudung tidak boleh ber cosplay.

Menurutnya, sebagai mereka di bidang berkaitan dan rasa terpanggil membetulkan persepsi itu, katanya pada masa ini sebenarnya ramai mereka bertudung juga boleh menjadi cosplayer dan beraksi mengikut budaya kita.

“Macam mana kita hendak menepis pandangan negartif, misalnya dalam program diadakan ini kita bantu beri penerangan dan ilmu bahawa cosplay ini tak semestinya ikut karakter, tapi pakai berdasarkan apa pun boleh. Seperti saya hari ini saya nak jadi flower girl. Ikut tema colour pun boleh.

“Sebenarnya ramai tak kenal lagi cosplayer macam mana. Saya rasa mereka di bidang ini boleh luaskan cara kita bergaul. Apabila kita kenal dan berkawan dengan mereka. Buktikan kita bukan macam tu… bukan buang masa,” katanya.

Menurutnya, menariknya terlibat cosplayer bukan sahaja belajar dengan cara menarik, dalam masa sama melaluinya melatih bina keyakinan diri.

Adila menyifatkan, apa yang penting adalah minat mendalam untuk menceburi bidang ini.

Sumber : http://www.sinarharian.com.my/kampus/trend-animasi-cosplay-1.763931

This entry was posted in Pendidikan. Bookmark the permalink.