Tiga beradik graduan cemerlang KUPTM

Dr. Abdul Razak Ibrahim (tengah) bergambar bersama ahli lembaga pengarah dan barisan pensyarah serta pelajar cemerlang pada Majlis Konvokesyen KU PTM Ke-34 di Kuala Lumpur, baru-baru ini

Majlis Konvokesyen Kolej Universiti Poly-Tech Mara (KUPTM) Kuala Lumpur yang berlangsung baru-baru ini memahat kenangan indah buat tiga adik beradik cemerlang, Mohd. Aminzaki Mohd Nazeri, Nur Izzati dan Nur Iwana Aimi.

Mohd. Aminzaki dan Nur Izzati merupakan graduan kelulusan profesional, The Institute Of Chartered Secretaries and Administrators (ICSA), manakala Nur Iwana pula merupakan graduan Certified Accounting Technician (CAT).

Mereka masing-masing melakar sejarahnya tersendiri dengan meraih keputusan cemerlang dan juga merupakan penerima Anugerah Dekan.

Mohd. Aminzaki ketika ditemui selepas majlis itu berkata, tekad untuk berjaya dalam kehidupan menjadi pendorong utama kepadanya untuk tekun belajar dan mencapai keputusan cemerlang.

Katanya,sepanjang belajar di KUPTM selama dua tahun yang menawarkan program pengajian program kendalian Institut Pentadbir dan Setiausaha Bertauliah Malaysia (MAICSA), dia akan memastikan fokus yang diberikan di dalam kelas adalah 100 peratus.

Jelasnya, kelebihan belajar bersama adik adalah bonus untuk mereka berdua bekerjasama dalam menyiapkan semua kerja kursus yang diamanahkan oleh pensyarah.

Pengalaman itu turut diakui adiknya, Nur Izzati yang menjadikan abangnya untuk mereka belajar dengan tekun dan membanggakan keluarga.

Sementara itu, bagi, Nur Iwana pula, cita-cita untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi dalam bidang perakaunan merupakan impian dan mengikuti jejak abang dan kakaknya yang berhasrat untuk menyambung pengajian di luar negara.

Majlis penyampaian anugerah itu telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Alexander Nanta Linggi. Yang turut hadir, Naib Canselor KUPTM, Prof. Dr. Abdul Razak Ibrahim.

Seramai 1,057 graduan KPTM Kuala Lumpur menerima diploma dan sijil profesional pada majlis konvokesyen itu yang diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya.

Daripada jumlah itu, 876 graduan adalah terdiri daripada program Diploma Pengajaran Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Kedua (TESL), Diploma Komunikasi Korporat, serta Diploma Perakaunan dan Kewangan.

Selain itu, yang turut menerima diploma ialah pelajar Diploma Pengurusan Sumber Manusia, Diploma Keusahawanan, Diploma Komputer dan Diploma Teknologi Maklumat Perniagaan.

Bagi graduan program sijil profesional pula, seramai 181 dianugerahkan sijil melibatkan 170 graduan program ICSA dan enam graduan CAT.

Sumber : http://www.utusan.com.my/pendidikan/tiga-beradik-graduan-cemerlang-kuptm-1.563675

Advertisements
This entry was posted in Pendidikan and tagged . Bookmark the permalink.