Hari Inovasi rai idea kreatif dan inovatif tenaga kerja KKLW

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bergambar bersama pemenang Anugerah Kualiti dan Inovasi telah dipertandingkan. – fotoBERNAMA

PUTRAJAYA : Hari Inovasi 2017 merupakan platform pengiktirafan bagi idea-idea kreatif dan inovatif dalam usaha memartabatkan imej luar bandar untuk terus memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat bagi meraikan tenaga kerja warga Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW).

Pengiktirafan ini juga turut diberikan kepada agensi-agensi dibawah KKLW termasuk Majlis Amanah Rakyat (MARA), Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda), Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (Kejora) dan Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS).

Menurut Menterinya Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, acara tahunan ini meletakkan KKLW di landasan yang efisien dan efektif dalam mencipta dan menyerlahkan keunikan sesuatu produk atau perkhidmatan sejajar dengan agenda empat Transformasi Negara.

“Contohnya dalam konteks perkhidmatan awam, saya percaya pelbagai idea dan inisiatif terbentuk demi membantu menyelesaikan masalah akibat peraturan dan prosedur lama yang menghalang sistem perkhidmatan awam dengan cekap,” kata Ismai ketika merasmikan Hari Inovasi 2017, di sini pada Khamis.

Dalam perkembangan lain, lima kategori Anugerah Kualiti dan Inovasi telah dipertandingkan seiring dengan tema ‘Inovasi Pemacu Transformasi Luar Bandar’.

Antaranya adalah Anugerah Inovasi Perkhidmatan Awam (kategori pengurusan) yang berjaya dirangkul oleh MARA melalui Learning Outcome Attainment Measurement System (LOAMS).

LOAMS bertujuan menyediakan maklumat untuk memantau proses pembelajaran dan meningkatkan kualiti secara berterusan.

Empat kategori lain adalah Anugerah Kualiti Kecekapan Tadbir Urus, Anugerah Kualiti Pengurusan Perolehan, Anugerah Kualiti Pengurusan Keselamatan Perlindungan dan Anugerah Kualiti Pengurusan Outcome Terbaik.

Tambahan itu, Ismail menggesa agar warga kerja sentiasa berfikir seperti orang Jepun dan Korea yang sentiasa menzahirkan idea demi meningkat produktiviti organisasi dan seterusnya pembangunan negara.

 

Sumber : http://www.astroawani.com/berita-malaysia/hari-inovasi-rai-idea-kreatif-dan-inovatif-tenaga-kerja-kklw-161639

Advertisements
This entry was posted in Berita Kejayaan and tagged . Bookmark the permalink.