Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) menganjur Sambutan Hari Inovasi KKLW 2017, pada hari ini 30 November 2017, bertempat di Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW), Putrajaya.
Penganjuran Sambutan Hari Inovasi KKLW 2017 adalah sebagai acara tahunan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) yang sebelum ini dikenali sebagai Hari Kualiti KKLW.
Ia adalah selaras dengan Panduan Peningkatan Budaya Inovasi Dalam Perkhidmatan Awam yang telah dikeluarkan oleh MAMPU berkuatkuasa pada 29 Januari 2010 disamping memenuhi hasrat dan cita-cita kerajaan supaya penjawat awam menjadi lebih kreatif dan inovatif.
Majlis ini merupakan platform kepada Pihak Pengurusan untuk menyampaikan pengiktrafan kepada Bahagian/Jabatan/Agensi yang telah memenangi Anugerah Kualiti dan Inovasi KKLW Tahun 2017.
Anugerah Kualiti dan Inovasi KKLW 2017 telah mempertandingkan sebanyak 5 (lima) kategori anugerah iaitu:
Anugerah Kualaiti Kecekapan Tadbir Urus
Anugerah Kualiti Pengurusan Perolehan
Anugerah Kualiti Pengurusan Keselamatan Perlindungan
Anugerah Penilaian Outcome Terbaik
Anugerah Inovasi Perkhidmatan Awam (Kategori Teknikal dan Pengurusan)
Sesi Penilaian telah dilaksanakan pada bulan September hingga Oktober 2017 oleh Panel bagi setiap kategori yang terdiri daripada wakil Kementerian, Bahagian, Jabatan dan Agensi.
Antara program-program Sambutan Hari Inovasi KKLW 2017 yang akan diadakan adalah Pameran Inovasi, Pertandingan Koir, Ceramah Inovasi dan Sesi Perkongsian Kejayaan Peserta RBC. Acara kemuncaknya merupakan sesi penyampaian hadiah kepada pemenang-pemenang pertandingan Anugerah Kualiti dan Inovasi KKLW 2017 yang akan disempurnakan oleh YB Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob.
Di bawah Anugerah Inovasi Perkhidmatan Awam (Kategori Teknikal), produk inovasi baharu juga telah dihasilkan adalah seperti Q Lulut untuk mengatasi masalah kepupusan koloni kelulut akibat suhu yang tidak terkawal, Kubix-Home merupakan inovasi dalam kejuruteraan pembinaan yang berlandaskan kepada konsep bangunan berteknologi hijau dan rumah pintar (smart house), Smart Suwarage Filter dibina bagi mengatasi masalah penyelenggaraan suwa yang berulang, My Mini Mobile Garden merupakan idea mewujudkan kebun dapur di tabika/taska, CU-B di cipta untuk mengurangkan kekerapan kes gegantung jatuh dari tiang lampu, Fibre Mat merupakan inovasi yang dapat mengawal hakisan tanah terutama dalam struktur tanah yang curam manakala Makanan Tambahan Ternakan (TAF) adalah inovasi yang dicipta bagi mengatasi masalah sumber makanan unggas, ruminan dan bukan ruminan di Malaysia.
Di bawah Anugerah Inovasi Perkhidmatan Awam (Kategori Pengurusan), produk inovasi baharu juga telah dihasilkan iaitu Fast Contract System yang berfungsi untuk menguruskan perkhidmatan kakitangan kontrak, Sistem e-Projek yang membantu memudahkan pegawai penguat kuasa projek memantau, mengemaskini dan melaporkan status semasa di tapak projek, sistem e-bekalan bagi memudahkan Unit Bekalan dalam merekod maklumat dan menguruskan bekalan baja kepada pekebun kecil, sistem e-pemantauan projek pula merupakan sistem pemantauan projek secara online, Learning Outcome Attainment Measurement System (LOAMS) bertujuan menyediakan maklumat untuk memantau proses pembelajaran dan meningkatkan kualiti secara berterusan manakala sistem perumahan bertujuan untuk memudahkan urusan pentadbiran dan perakaunan perumahan di sekitar wilayah.
Setiap kategori pemenang Anugerah Inovasi Perkhidmatan Awam kategori Pengurusan dan Teknikal akan menerima hadiah wang tunai sebanyak RM4,000 dan trofi bagi tempat pertama, RM3,000 bagi tempat kedua dan RM2,000 bagi tempat ketiga beserta sijil penyertaan.
Objektif Sambutan Hari Inovasi ini bertujuan untuk mencapai objektif seperti berikut:
meningkatkan usaha-usaha warga KKLW secara kolektif ke arah peningkatan kualiti, produktiviti dan inovasi secara berterusan;
menyemai nilai kreativiti, inovasi, semangat kerjasama dan amalan nilai-nilai murni dalam perkhidmatan awam;
memperkukuhkan organisasi dan keupayaan jentera pengurusan supaya dapat menghasilkan perkhidmatan yang cekap, berkualiti, mesra pelanggan dan penuh integriti; dan
memberi pengiktirafan kepada Jabatan / Agensi KKLW yang berjaya menunjukkan kecemerlangan dalam urusan kualiti dan inovasi melalui penganjuran Anugerah Kualiti dan Inovasi KKLW 2017.
-KKLWHARIINI