Tiga pereka muda MIF 2017 bakal ke London

TIGA pereka muda Abdul Rahman Safeei (kiri), Siti Fairus Zainuddin Shah dan Amirul Khursaini Mustafa Kamal memenangi pertandingan anugerah MARA In Fashion (MIF) Runway 2017 di Hotel Primiera Kuala Lumpur. – Foto Rohanis Shukri

KUALA LUMPUR: Tiga peserta akhir pertunjukan fesyen MARA In Fashion (MIF) 2017 anjuran Majlis Amanah Rakyat (MARA) terpilih untuk menyertai kursus fesyen jangka pendek dua minggu di Central Saint Martin, London, pada Januari 2018.

Abdul Rahman Safe’ei, 22 dan Siti Fairus Zainuddin Shah, 31, dari Johor Bahru manakala Amirul Khursaini Mustafa Kamal, 30, dari Pahang.

Mereka turut menerima Anugerah Pereka Paling Menyerlah MIF 2017.

Pengerusi MARA, Datuk Dr Awang Adek Hussin, berkata MIF 2017 yang memasuki tahun kedua penganjuran adalah antara inisiatif agensi itu untuk membantu pereka muda tempatan terbabit dalam bidang fesyen.

Katanya, MIF 2017 mula mengasah bakat 20 peserta akhir pertandingan rekaan fesyen sejak Ogos lalu dilihat sebagai platform terbaik bagi mempromosi pereka fesyen Bumiputera menembusi pasaran antarabangsa.

”MIF 2017 bertujuan membentuk pereka muda tempatan menjadi usahawan berkemahiran, berkeyakinan, inovatif, berdaya saing dan unik.

”Sehubungan itu, untuk membolehkan mereka berdaya saing dalam pasaran, bengkel selama empat bulan diketengahkan dengan bimbingan pakar dalam industri fesyen tempatan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan replika tiket penerbangan dan sijil penyertaan kepada ketiga-tiga pemenang Anugerah Pereka Paling Menyerlah MIF 2017, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah Keusahawanan MARA, Zulfikri Osman dan Timbalan Ketua Pengarah (Khidmat Pengurusan) MARA, Abdul Rashid Mohd Said.

Mengulas lanjut, Awang Adek berkata, bengkel MIF 2017 meliputi empat fasa pembangunan usahawan dalam industri iaitu rekaan fesyen, penghasilan, pengeluaran dan pemasaran runcit.

“Bengkel singkat itu adalah satu platform untuk melatih dan membimbing pereka muda untuk meletakkan nama mereka sebaris dengan pereka ternama.

”Peluang mengikuti bengkel itu juga membolehkan pereka muda untuk lebih yakin berkarya dan menzahirkan rekaan produk mempunyai identiti tersendiri di pasaran tempatan dan antarabangsa,” katanya.

Sementara itu, Siti Fairus berkata, peluang menyertai MIF 2017 memberinya ilmu dan perspektif baru dalam dunia rekaan kreatif.

Menyentuh koleksinya bertema Spirited Away, Pensyarah Rekaan Fesyen Kolej Universiti Metropolitan Kuala Lumpur (KLMUC) itu berkata, inspirasi rekaan diambil dari pemakaian baju kurung dikenali dalam kalangan masyarakat Melayu.

”Saya cuba gabungkan rekaan moden dan tradisional dalam ketiga-tiga persalinan sedia pakai agar ia dapat dipadankan untuk pelbagai acara termasuk formal dan kasual.

”Pemilihan material seperti kapas dan satin dari rona putih dibangkitkan keindahannya dengan sulaman tangan kemas pada koleksi blaus dan gaun labuh menjadikannya tampil unik,” katanya.

INFO:

MIF 2017

*Merangkumi empat fasa bengkel latihan iaitu rekaan fesyen, penghasilan, pengeluaran dan pemasaran runcit

*120 permohonan

*20 terpilih ke peringkat akhir

*Tiga rekaan dipersembahkan

 

Sumber : https://www.bharian.com.my/wanita/rias/2017/11/356082/tiga-pereka-muda-mif-2017-bakal-ke-london

Advertisements
This entry was posted in Usahawan and tagged . Bookmark the permalink.