MIF ketengah bakat pereka fesyen muda

Awang Adek (empat, kanan) bersama pemenang pada MIF 2017.

KUALA LUMPUR – Tiga peserta akhir pertunjukan fesyen Mara In Fashion (MIF) Runway 2017 anjuran Majlis Amanah Rakyat (Mara) terpilih untuk menyertai kursus jangka pendek selama dua minggu, di Central Saint Martins, London bermula Januari tahun hadapan.

Ketiga-tiga peserta itu, Amirul Khursaini Mustafa Kamal dengan tema rekaan Marching Forward, Fyrose Zanudin (Freedom) dan Abdul Rahman Safeei (Art of Cubism) dipilih menerusi hasil rekaan masing-masing yang dipersembahkan pada MIF 2017, hari ini.

Kesemua tiga peserta ini turut menerima anugerah Most Outstanding Designer.

Manakala dua lagi pemenang Suziyanti Ngah dengan tema rekaan Sea Beauty dan Hazizul Abd Aziz dengan tema rekaan The Unsung Princess menerima anugerah The Promising Designer. Anugerah disampaikan oleh Pengerusi Mara, Datuk Dr Awang Adek Hussin.

Sementara itu, Awang Adek berkata, MIF merupakan platform bagi mengetengahkan bakat-bakat pereka fesyen muda untuk berkarya dan menzahirkan rekaan dan produk yang mempunyai identiti sendiri di pasaran tempatan dan antarabangsa.

“MIF akan terus mengukuhkan strategi pembangunan usahawan fesyen melalui ekosistem yang terancang dengan meningkatkan nilai rekaan, kualiti jahitan dan penjahit berkemahiran tinggi yang memenuhi piawai antarabangsa.

“Selain dapat menzahirkan visi MIF dengan menjalinkan pelbagai jaringan dan kolaborasi serta mewujudkan peluang-peluang perniagaan fesyen yang lebih besar bersama agensi dan syarikat di luar negara,” katanya kepada pemberita pada sidang media, di sini hari ini.

Beliau berkata, melalui MIF ini juga, negara dapat terus melahirkan usahawan industri fesyen yang berkemahiran, kreatif, konstruktif, progresif,inovatif,kritikal, keterbukaan serta berketrampilan dan bersedia meletakkan jenama dan imej mereka di arena antarabangsa.

Bagi 2017, seramai 20 peserta di pilih selepas berjaya melepasi saringan pada Ogos lalu.

Mereka dipilih daripada pelbagai latar belakang yang mempunyai pengalaman dan minat mendalam dalam dunia fesyen.

Kesemua peserta juga melalui empat fasa latihan yang sama merangkumi segala aspek dalam rekaan dan industri fesyen selain dibimbing oleh pakar-pakar dalam industri fesyen tanah air.

Setiap peserta perlu mempersembahkan tiga hasil rekaan yang dinilai juri profesional.

MIF yang bermula pada 2016 berjaya melahirkan ramai pereka fesyen muda tempatan. MIF juga dijangka bakal dijadikan acara tahun dalm usaha melahirkan lebih ramai usahawan dalam industri fesyen.

Hasil daripada MIF 2016, beberapa peserta berpeluang meluaskan pasaran jenama masing-masing antaranya seperti Sogo, I-Setan, Haute Elan, London dan Fashion Valet.

MIF 2016 seramai tiga peserta berpotensi berpeluang menyertai program London Muslim Lifestyle Show pada Mei tahun lalu.

Ia merupakan platform terbaik dalam pembinaan jenama usahawan rekaan fesyen Mara ke dalam komuniti fesyen di negara Eropah.

Peserta MIF 2016 juga diberi peluang mengubah personaliti Astro Awani dan berkolaborasi dengan produk Neutrogena melalui rekaan fesyen yang mereka ketengahkan.

 

Sumber : http://www.sinarharian.com.my/nasional/mif-ketengah-bakat-pereka-fesyen-muda-1.763150

Advertisements
This entry was posted in Usahawan and tagged . Bookmark the permalink.