MARA Pergiat Program Khidmat Masyarakat

Pegawai Perhubungan Masyarakat, Encik Yubidi Gompoyo bersama anak-anak yatim yang diraikan dan anggota kerja MARA program CSR

 

RANAU 26 Nov – Majlis Amanah Rakyat (MARA) berhasrat untuk meneruskan misi program khidmat masyarakat dengan memberi tumpuan terhadap masyarakat dan komuniti setempat.

Pegawai Perhubungan Masyarakat, Encik Yubidi Gompoyo mewakili YB Datuk Dr. Joachim, ADUN N.29 Kundasang berkata, ia sebagai platform MARA dalam menyalurkan bantuan kepada golongan memerlukan khususnya dalam aspek pembangunan dan naik taraf kemudahan prasarana.

Menurutnya, program itu bertujuan menaik taraf kemudahan pembelajaran 80 orang anak-anak yatim melibatkan dua pusat rumah anak yatim iaitu Rumah Anak Yatim dan Asnaf Kg. Langsat dan Rumah Putera Harapan, Ranau di sini.

“Program CSR kali ini diadakan dengan kerjasama lebih 20 orang anggota terdiri daripada Pegawai Latihan Negeri Se-Malaysia, MARA daerah Ranau, MRSM Kota Kinabalu, Institut Kemahiran MARA, GIATMARA dan Yayasan Pelajaran MARA.

“Jika sebelum ini program hanya melibatkan kerja-kerja gotong-royong dan pembaikan, pada kali ini tumpuan lebih kepada aktiviti pembelajaran seperti sukaneka jati diri dan latihan dalam kumpulan yang dapat meningkatkan kemahiran pembelajaran,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Aktiviti-aktiviti sukaneka jati diri yang dikendalikan oleh pegawai STO MARA

“Kami berharap dengan bantuan ini dapat meringankan beban mereka sekali gus dapat menjalani pembelajaran dengan lebih selesa seperti orang lain,” katanya.

Advertisements
This entry was posted in Pendidikan. Bookmark the permalink.