Pelajar GIATMARA selenggara pendawaian elektrik pusat tahfiz

BENTONG 22 NOVEMBER 2017. Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, bersama dengan murid-murid Tadika Akademik Tahfiz Al-Fathonah selepas hadir dalam program Walkabout dan program Senggaraan Pendawaiaan Elektrik Sekolah Tahfiz di Akademik Tahfiz Al-Fathonah Kampung Janda Baik. STR/NAZIRUL ROSELAN

BENTONG: Sebanyak 1,281 pusat tahfiz di seluruh negara dikenal pasti untuk pelaksanaan program penambahbaikan pendawaian elektrik oleh pelajar GiatMARA dengan peruntukan RM80 juta.

Menteri Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata setakat ini, 669 pusat tahfiz daripada jumlah keseluruhan itu sedang menjalani proses penyelenggaraan dan pembaikan pendawaian bermula awal bulan lalu.

Beliau berkata, proses penambahbaikan sistem pendawaian di pusat tahfiz berkenaan dijangka berakhir bulan depan menerusi bajet Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri sebanyak RM30 juta.

“Kita fokus kepada 669 pusat tahfiz ini kerana ia berada dalam keadaan agak kritikal dan perlukan pembaikan dan pendawaian segera.

“Setakat hari ini (semalam) kita sudah siapkan 138 pusat tahfiz dan kita yakin boleh siapkan semua (669 pusat tahfiz) sebelum hujung tahun ini.

“Kita akan selesaikan masalah pendawaian elektrik ke atas 612 pusat tahfiz pada tahun hadapan dengan peruntukan bajet daripada kerajaan sebanyak RM50 juta yang diluluskan dalam Bajet 2018,” katanya pada sidang media selepas melawat dua pusat tahfiz, Maahad Tahfiz Al-Quran dan Akademi Tahfiz Al-Fathonah yang sedang dilakukan proses penambahbaikan pendawaian elektrik, di Janda Baik, dekat sini, hari ini.

Ismail Sabri berkata, proses penyelenggaraan pendawaian di pusat tahfiz berkenaan membabitkan seramai 1,540 pelajar GiatMARA yang dibahagikan kepada 154 kumpulan dan diketuai tenaga pengajar GiatMara yang mempunyai sijil kemahiran.

Beliau berkata, tiga pihak iaitu Jabatan Bomba dan Penyelamat, GiatMARA dan Jabatan Agama Islam Negeri akan membuat pemeriksaan dan pengesahan berkaitan teknikal dan peraturan selepas proses penyelenggaraan pendawaian itu siap.

Sementara itu, beliau juga berkata, kerajaan akan mewujudkan kursus kemahiran untuk pelajar tahfiz di seluruh negara bagi meluaskan peluang pekerjaan bermula tahun hadapan.

Katanya, pengenalan kursus kemahiran yang dikendalikan GiatMARA membabitkan peruntukan kira-kira RM40 juta dan membabitkan 236 kursus dikenal pasti.

“Kita tahu anak tahfiz ini fokus kepada tahfiz untuk jadi huffaz (penghafal) selepas mereka belajar selama empat dan lima tahun. Mereka perlu diberikan kemahiran lain supaya mempunyai pilihan sama ada menjadi imam atau pekerjaan lain.

“Mereka akan mengikuti kemahiran itu berdasarkan kesesuaian pelajar, hari dan tempat dan bagi kursus jangka panjang, mungkin diadakan kelas kemahiran pada hujung minggu,” katanya.

Sumber : https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2017/11/353945/pelajar-giatmara-selenggara-pendawaian-elektrik-pusat-tahfiz

Advertisements
This entry was posted in Pendidikan and tagged . Bookmark the permalink.