1,281 sekolah tahfiz akan dibaik pulih oleh GIATMARA

BENTONG: 669 daripada 1,281 sekolah tahfiz akan diperiksa, dibaik pulih dan mendapat penyelenggaraan teknikal elektrik oleh pasukan teknikal GIATMARA untuk tahun ini.

Selebihnya, 612 sekolah tahfiz lagi akan mendapat penambahbaikan yang sama bermula Januari tahun depan.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika mengumumkan perkara itu hari ini berkata kerja pembaikan ini bukan sahaja untuk sekolah tahfiz berdaftar tetapi juga untuk yang tidak berdaftar.

“Kami mengalakkan semua sekolah tahfiz untuk berdaftar, tetapi ini soal keselamatan.

“Tidak kira sekolah itu berdaftar atau tidak, GIATMARA akan melaksanakan penyelenggaraan pendawaian kerana kami tidak mahu tragedi berulang,” kata Ismail Sabri selepas membuat lawatan ke dua sekolah tahfiz di Bentong bagi melihat kerja pembaikan tersebut.

“Saya harap pihak di luar sana tidak perlu bimbang apabila kita buat kerja pembaikan seperti pendawaian dan sebagainya.”

Jelasnya lagi, terdapat tiga pihak yang akan memberi pengesahan terhadap kelulusan proses penyelenggaraan, iaitu Jabatan Bomba, GIATMARA dan Jabatan Agama Islam.

“Saya harap pihak di luar sana tidak perlu bimbang apabila kita buat kerja pembaikan seperti pendawaian dan sebagainya.

“Ia adalah selamat dan akan disahkan oleh tiga pihak yang mempunyai kepakaran, dua dari segi teknikal dan satu daripada jabatan agama sendiri,” katanya.

Menurut Ismail Sabri, fasa pertama kerja baik pulih sekolah tahfiz bagi tahun ini adalah di bawah peruntukan bajet RM30 juta oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan Ekonomi (ICU).

Sementara itu, fasa kedua yang bermula tahun depan pula adalah di bawah peruntukan bajet RM50 juta yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Oktober lalu.

Selain itu, RM40 juta turut diperuntukkan untuk membangunkan Skim Latihan Kemahiran khusus untuk pelajar tahfiz.

Katanya, skim ini sekali gus membuka peluang untuk pelajar meneroka bidang lain seperti teknologi, pembaikan kereta, elektrik dan memasak.

Sumber : http://www.astroawani.com/berita-malaysia/1-281-sekolah-tahfiz-akan-dibaik-pulih-oleh-giatmara-161005

Advertisements
This entry was posted in Pendidikan and tagged , , , , , , , , . Bookmark the permalink.