Nor Haizan mahu bina empayar Royalista

SELAIN membina jenama Royalista, Nor Haizan sebenarnya mahu mengajak lebih ramai wanita menceburkan diri dalam dunia perniagaan untuk meneruskan kelangsungan hidup.

MELANGKAH masuk ke dalam premis Akademi Royalista milik seorang wanita di Jerantut, Pahang itu mampu membangkitkan keinginan untuk mengikut jejak langkahnya bergelar seorang usahawan yang berjaya.

Melihat susun atur di ruang belajar menjahit, bilik terapi spa serta outlet yang menawarkan pelbagai barangan jenama Royalista termasuk pakaian, tudung dan produk kecantikan membuatkan hati teruja untuk menyelami perjalanan hidup pengasasnya, Nor Haizan Nasir@Bashir.

Pada usia 35 tahun, Nor Haizan yang merupakan ibu kepada tiga cahaya mata itu sudah boleh berbangga dengan pencapaian yang dimiliki di bawah syarikat Eizzu Legacy Sdn. Bhd.

Menurut anak kelahiran Felda Padang Piol di Jerantut, Pahang itu, dia memulakan bisnes terapi spa pada tahun 2015 selepas lebih tujuh tahun berkhidmat dengan Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas).

Sepanjang tempoh itu, Nor Haizan pernah mengikuti kursus mobile spa atau spa bergerak anjuran Kemas selama setahun.

“Selepas tamat kursus itu, pihak Majlis Amanah Rakyat (MARA) menawarkan sebuah kedai untuk saya jalankan perniagaan berkaitan.

Latihan
“Alhamdulillah, daripada perkhidmatan spa bergerak, saya berusaha mempelbagaikan perniagaan dengan menghasilkan tudung jenama Royalista.

“Ini kerana saya pernah menyertai kursus jahitan anjuran Felda pada tahun 2010. Oleh itu, saya tidak mahu mensia-siakan kemahiran yang ada, sekali gus memberanikan diri membuat tudung jenama sendiri.

“Tambahan pula, waktu itu industri tudung sedang meningkat naik dan saya boleh menjana pendapatan sehingga RM4,000 sebulan,” ujarnya kepada Kosmo! ketika ditemui di Jerantut, Pahang baru-baru ini.

Tidak mahu terhenti setakat itu, Nor Haizan kemudian menaik taraf kemudahan yang ada di premisnya dengan membeli mesin rawatan wajah dan antipenuaan.

Selain memberi perkhidmatan kepada pelanggan, wanita bersemangat waja ini turut menawarkan siri latihan merawat wajah, terapi spa, kursus jahitan dan rawatan rambut kepada individu yang berminat dalam tempoh yang singkat.

“Untuk tujuan itu, saya tawarkan latihan selama tiga hari bagi membolehkan pelajar mendapat ilmu dalam bidang yang diminati.

“Hasilnya sangat memberangsangkan apabila pelanggan semakin bertambah dan ada juga dalam kalangan mereka yang menjadi pelajar saya,” kata Nor Haizan yang mempunyai sijil kemahiran mengajar yang diiktiraf MARA.

Sebagai salah seorang tenaga pengajar yang mempunyai pentauliahan Pegawai Pelatih Vokasional (VTO) dalam bidang kemahiran jahitan, terapi spa, dandanan rambut, solekan dan urutan, Nor Haizan mengakui, dia mahu berkongsi ilmu yang ada bersama ramai wanita di luar sana.

“Sejujurnya, saya sedih jika membaca mengenai kisah wanita yang ditinggalkan suami, ibu tunggal yang terpaksa menyara anak-anak dan lain-lain yang menyentuh naluri kewanitaan.

“Justeru, dengan sedikit ilmu yang ada, saya suka mengajak golongan wanita untuk memperkasakan diri dengan pelbagai kemahiran.

“Memang bukan mudah untuk memulakan sesuatu perniagaan tetapi apa yang penting, kita mesti berani untuk berubah demi meneruskan kelangsungan hidup.

“Berniaga adalah salah satu sunah Nabi SAW, jadi rebutlah peluang yang ada dengan niat mencari rezeki halal untuk keluarga,” tuturnya penuh berhemah.

Sehingga kini, Nor Haizan telah banyak bekerjasama dengan pihak MARA dalam menganjurkan kursus jahitan tudung komersial, terapi spa dan dandanan rambut. Yuran hanya bermula RM150 hingga RM500.

Selain mengambil tempahan jahitan secara borong, Nor Haizan turut mengeluarkan produk-produk jenama Royalista seperti blaus, shawl dan sabun kecantikan yang dihasilkan sendiri.

Perancangan
Ketika ditanya perancangan terbaharu, Nor Haizan memberitahu, pihaknya akan membuka Royalista Cafe di Presint 15, Putrajaya yang menawarkan sajian patin tempoyak dan patin pais untuk dinikmati pelanggan.

“Saya sebenarnya mahu membina jenama Royalista agar ia dikenali bukan sahaja kerana perkhidmatan yang ditawarkan tetapi kerana kejayaannya membantu lebih ramai individu berjaya dalam bidang perniagaan.

“Inilah yang menjadi pegangan saya untuk terus berjaya dalam dunia perniagaan.

“Semoga lebih ramai usahawan wanita dilahirkan di luar sana dan membuktikan kepada dunia bahawa sesiapa yang berusaha pasti akan berjaya,” katanya menutup bicara.

 

Sumber : http://www.kosmo.com.my/k2/varia/nor-haizan-mahu-bina-empayar-royalista-1.557256

This entry was posted in Usahawan. Bookmark the permalink.