MARA Teruskan Program CSR Hati Emas Bantu Komuniti Luar Bandar

KAPIT, 19 Nov (Bernama) — Majlis Amanah Rakyat (MARA) terus membantu komuniti luar bandar untuk mengakses perkhidmatan yang disediakannya melalui program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Hati Emas MARA.

Yang terbaharu bagi program mengukuhkan semangat kebersamaan antara rakyat dan Mara selaras dengan manifestasi betapa teguhnya prinsip serta nilai bersama yang dipegang oleh MARA iaitu menjunjung ‘Amanah Rakyat’ itu ialah Program Hati Emas Kemahiran MARA-Kapit di sini.

Bertemakan ‘Belia Berkemahiran Pemangkin Ngemangsangka Menua Pesisir’ (gabungan bahasa Melayu dan Iban yang bermaksud Belia Berkemahiran Pemangkin Membangunkan Kawasan Luar Bandar), program itu dijalankan di Rumah Empawi di Nanga Sekukut, Sungai Yong, 15km dari Bandar Kapit bermula 15 Nov lalu.

Majlis penutupan program itu disempurnakan Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) Datuk Alexander Nanta Linggi, malam tadi. Turut hadir Pengarah MARA Sarawak Dr Azmi Amat Munjan.

Dalam ucapannya Nanta berkata, Program Hati Emas itu adalah untuk memastikan komuniti luar bandar tidak terkecuali daripada merasai arus teknologi melalui hasil pembangunan projek inovasi yang dijalankan oleh Institut Kemahiran MARA (IKM) iaitu Pembangunan Sistem Pertanian Bandar.

Pemindahan teknologi yang dilakukan oleh 43 pelajar dan pensyarah IKM Bintulu itu merangkumi penggunaan unit rumah hijau, sistem aquaponics dan fertigasi, sistem penuaian dan penyejukan air dan sistem solar.

“MARA merealisasikan visi kementerian iaitu membandarkan luar bandar melalui penglibatan bersama komuniti luar bandar dengan merapatkan jurang perbezaan melalui infrastruktur, ekonomi, pendidikan dan lain-lain yang merupakan pembangunan yang menyeluruh dalam menyumbang kepada kemakmuran dan kesejahteraan masyarakat,” kata Nanta.

Pengarah program tersebut, Michael Jangi melahirkan rasa puas hati beliau kerana penduduk rumah panjang itu telah memperlihatkan sokongan yang baik dan minat yang mendalam terhadap program itu.

Beliau berharap projek inovasi bernilai RM15,000 itu dapat dimanfaatkan oleh penduduk rumah panjang tersebut bagi memodenkan pertanian dan meningkatkan pendapatan mereka pada masa akan datang dan seterusnya dicontohi oleh penduduk rumah panjang lain di sekitar Kapit.

Michael turut menyeru golongan belia di Kapit yang tidak mempunyai kelayakan akademik yang tinggi supaya meningkatkan kebolehpasaran mereka untuk mendapatkan peluang pekerjaan dengan mendapatkan kelayakan di dalam bidang kemahiran.

Katanya, IKM Bintulu menawarkan program-program di bawah kluster minyak dan gas iaitu Sijil Teknologi Kejuruteraan Fabrikasi Perpaipan, Sijil Teknologi Kejuruteraan Fabrikasi Struktur, Sijil Teknologi Kejuruteraan Pemasangan Elektrik, Diploma Teknologi Kejuruteraan Operasi Loji, Diploma Teknologi Kejuruteraan Penyelenggaraan Instrumentasi Dan Kawalan Loji dan Diploma Teknologi Kejuruteraan Pemasangan Elektrik.

Di bawah program CSR itu juga, MARA turut menganjurkan Program Engagement MARA Tuisyen Rakyat @ KKLW Daerah Kapit di Dewan Sri Balleh.

Program tersebut disertai 100 pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan Kapit, Sekolah Menengah Kebangsaan Kapit 2 dan Sekolah Menengah Kebangsaan Selirik.

Mereka diberikan pendedahan mengenai peluang-peluang melanjutkan pelajaran ke IKM dan Institusi Pendidikan MARA (IPMa) seperti Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Kolej Universiti Poly Tech MARA (KUTPM), Kolej Profesional MARA (KPM) dan German-Malaysian Institute (GMI) yang menyediakan dan menawarkan pelbagai program dan kursus sama ada teknikal dan bukan teknikal di peringkat diploma, Ijazah sehingga ke tahap pengiktirafan profesional.

— BERNAMA

 

Sumber : http://www.bernama.com/bernama/v8/bm/ge/newsgeneral.php?id=1411962

Advertisements
This entry was posted in Lain-Lain and tagged . Bookmark the permalink.