KAPIT – Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Alexander Nanta Linggi hari ini mencadangkan supaya Majlis Amanah Rakyat (Mara) mewujudkan sebuah cawangan Kolej Profesional Mara (KPM) di Bahagian Kapit.
Beliau berkata, cadangan itu dibuat bagi memberi peluang kepada pelajar untuk memilih belajar di bahagian tersebut.
“Saya meminta supaya Mara mengadakan cawangan KPM di sini buat masa ini sebagai rancangan awal kepada pembukaan sebuah kampus penuh bagi keperluan pada masa akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan penutupan Program Penglibatan Mara danTuisyen Rakyat Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW)/Yayasan Pelajaran Mara yang turut dihadiri Pengarah Mara Sarawak, Dr Azmi Amat Murjan di sini hari ini.
Katanya, dengan adanya cawangan KPM, ia juga dapat membantu meningkatkan pembangunan modal insan di bahagian berkenaan.
Menurutnya, beliau melihat wujudnya keperluan untuk mengadakan sebuah kampus penuh KPM di Kapit dalam tempoh tiga hingga empat tahun lagi.
Nanta yang juga Ahli Parlimen Kapit berkata, beliau pernah meminta supaya sebuah Maktab Rendah Sains Mara diadakan di bahagian itu.
Namun, beliau dimaklumkan ia tidak dapat dilakukan pada masa ini kerana MRSM Betong dan MRSM Mukah yang sedia ada masih belum mencapai tahap pengambilan pelajar yang tinggi.
Beliau juga mencadangkan agar sebuah Arked Mara dibina di Kapit supaya lebih banyak ruang niaga dapat disediakan bagi kaum Bumiputera yang berminat untuk menceburkan diri di dalam bidang perniagaan.
Sehubungan itu, beliau meminta supaya Mara menambah peruntukan dana bagi membantu usahawan di Kapit khasnya para kontraktor kecil yang tidak mempunyai modal yang mencukupi bagi melaksanakan kerja-kerja pembangunan di bahagian itu.- Bernama