MARA Berperanan Pastikan Ekonomi Sabah Terus Kukuh – Musa

KOTA KINABALU, 15 Nov (Bernama) — Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman berkata Majlis Amanah Rakyat (MARA) telah memainkan peranan dengan mewujudkan pelbagai bentuk kemudahan untuk memastikan ekonomi di Sabah terus kukuh.

Beliau berkata MARA telah menyediakan pelbagai bentuk kemudahan seperti latihan keusahawanan, pembiayaan perniagaan serta premis perniagaan untuk membangunkan usahawan yang berpotensi di negeri ini.

“MARA telah membangunkan lebih daripada 18,000 usahawan di Sabah dengan jumlah peruntukan sebanyak kira-kira RM1 bilion melalui latihan keusahawanan dan pembiayaan perniagaan,” katanya pada Majlis Makan Malam Forum Perniagaan Antarabangsa MARA-Pertubuhan bagi Kemajuan Perindustrian, Kerohanian dan Kebudayaan (OISCA) 2017 (MOIBF 2017) di sini, malam ini.

Teks ucapan Musa dibacakan oleh Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Yahya Hussin.

Berhubung forum selama dua hari sejak semalam itu, Musa berkata kerajaan Sabah menyokong penuh objektif MARA-OISCA untuk mengukuhkan kerjasama antara kedua-dua negara, selain turut mempromosikan persefahaman dan persahabatan di rantau Asia.

Forum itu sebagai platform untuk menjadi antara penyedia makanan dan produk halal utama untuk para atlet dan pengunjung di Sukan Olimpik 2020 di Tokyo, Jepun.

Mengulas lanjut, Musa berkata kerjasama antara MARA dan OISCA telah mewujudkan objektif meningkatkan keupayaan teknikal dan keusahawanan dalam kalangan belia dan usahawan di Malaysia.

“Program Latihan Kemahiran Lanjutan OISCA telah memberi manfaat kepada pelatih Bumiputera dan membuka pintu kepada rangkaian perniagaan dalam pelbagai bidang,” katanya.

Musa berkata dalam tempoh 50 tahun ini, MARA telah menghantar lebih daripada 1,000 belia Malaysia untuk mengalami latihan industri di Jepun dan lebih 3,000 belia telah dilatih di Malaysia.

“Sebanyak 70 peratus daripada pelatih berkenaan telah bekerja di sektor swasta termasuk di syarikat Jepun yang berpusat di Malaysia manakala selebihnya telah menyertai perkhidmatan awam atau memulakan perniagaan mereka sendiri,” katanya.

— BERNAMA

 

Sumber : http://www.bernama.com/bernama/state_news/bm/news.php?cat=sbm&id=1410896

Advertisements
This entry was posted in Usahawan and tagged . Bookmark the permalink.