Rebut peluang pasaran halal Jepun

Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Awang Adek Hussin (tiga dari kiri) menyaksikan pertukaran perjanjian persefahaman (MoU) antara Presiden Akishigay Construction, Yoshinobu Akishigay dan wakil Madolin Technology Sdn Bhd, Bairullah Dumpas (dua dari kanan) pada Mara-OISCA International Business Forum (MOIBF) 2017, di Kota Kinabalu. – Foto Mohd Nazllie Zainul

KOTA KINABALU: Usahawan tempatan perlu mengambil peluang untuk memasarkan produk halal ke Jepun.

Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Awang Adek Hussin, berkata ini disebabkan negara itu yang dipilih sebagai tuan rumah Sukan Olimpik 2020, memerlukan banyak produk halal untuk memenuhi keperluan atlet beragama Islam.

“Sabah mempunyai ramai usahawan yang mengusahakan produk halal yang dilihat bersesuaian bagi tujuan eksport.

“Ini sejajar dengan usaha kita untuk memastikan produk halal dari negara ini, khususnya Sabah mendapat pasaran meluas di Jepun menjelang sukan berkenaan.

“Usahawan dari negeri ini perlu mengambil peluang itu untuk memasarkan produk tempatan, khususnya yang halal ke luar negara,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Forum Perniagaan Antarabanga MARA-Organisasi Kemajuan Industri Spiritual Budaya atau MOIBF 2017 di sini hari ini.

Dalam pada itu, Awang Adek meminta semua usahawan agar memastikan produk yang mereka hasilkan itu mampu memenuhi kriteria untuk dieksport ke luar negara.

“Sekiranya kita mahu menembusi pasaran antarabangsa, usahawan perlu melihat kembali produk mareka dan melakukan perubahan termasuklah kualiti produk, pembungkusan dan maklumat nutrisi,” katanya.

Beliau turut berharap penganjuran forum seumpama itu dapat diteruskan pada masa hadapan dalam usaha mengangkat jenama produk halal tempatan ke peringkat global.

Terdahulu Awang Adek menyaksikan pertukaran empat memorandum persefahaman (MoU) antara syarikat tempatan dan Jepun yang terhasil menerusi forum MOIBF 2013 hingga 2016, dengan nilai keseluruhan RM520 juta.

Forum yang berlangsung selama dua hari sehingga hari ini itu dianjurkan buat kali keenam dengan disertai kira-kira 1,500 peserta membabitkan usahawan tempatan dan luar negara antaranya Jepun, Korea, Brunei serta Azerbaijan.

 

Sumber : https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2017/11/350620/rebut-peluang-pasaran-halal-jepun

Advertisements
This entry was posted in Usahawan and tagged . Bookmark the permalink.