Malaysia sasar pembekal produk halal Sukan Olimpik Tokyo 2020

AWANG Adek Hussin (kanan) disambut Pengarah SKash Marketing (M) Sdn. Bhd., Sayid Azri Sayid Hizar (kiri) semasa melawat gerai syarikat itu sempena Forum Perniagaan Antarabangsa Mara- OISCA di Kota Kinabalu hari ini. – BESSE AISYAH/UTUSAN ONLINE

KOTA KINABALU 14 Nov.- Penganjuran Forum Perniagaan Antarabangsa Majlis Amanah Rakyat (Mara) – OISCA International keenam 2017 merupakan platform terbaik buat Malaysia untuk menjadi pembekal utama makanan dan minuman halal pada temasya Sukan Olimpik 2020 di Tokyo, Jepun.

Pengerusi Mara, Datuk Dr. Awang Adek Hussin berkata, Mara yakin matlamat tersebut dapat dicapai menerusi pelbagai inisiatif yang dijalankan sebagai galakkan buat usahawan di negara ini meningkatkan kualiti produk mereka mengikut piawaian antarabangsa.

“Usahawan kita perlu memanfaatkan penyertaan rakan dagangan mereka dari Jepun di forum pada hari ini untuk bertukar-tukar ilmu perniagaan serta mempelajari sebanyak yang mungkin mengenai peluang berniaga sempena kejohanan sukan Olimpik nanti.

“Persiapan kita harus bermula sekarang kerana kita perlu mempunyai bekalan produk halal mencukupi untuk menampung keperluan atlit dan penonton beragama Islam yang hadir menyaksikan sukan itu nanti,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan forum itu di sini hari ini.

Yang hadir sama Pengarah Urusan Mara, Datuk Azhar Abdul Manaf; Timbalan Presiden Eksekutif OISCA, Toshiro Nakano; Duta Besar Jepun ke Malayisa, Dr. Makio Miyagawa dan Duta Besar Azerbaijan, Qaley Allah Ver Di Yes.

Forum anjuran Mara dan OISCA itu yang bertemakan Meningkatkan Rangkaian Keusahawanan, disertai kira-kira 1,500 usahawan tempatan dan luar negara termasuk 65 syarikat dari Jepun.

Sempena persidangan itu juga, sebanyak lima perjanjian persefahaman dimetrai di antara Malaysia dan Jepun dalam bidang agro (produk halal), perindustrian, pendidikan dan pembinaan yang bernilai RM520 juta.

Dalam pada itu, Awang Adek berkata, Mara juga menganggarkan sebanyak RM500 juta nilai keuntungan diperolehi hasil kerjasama perniagaan antara para pengusaha kecil dan sederhana (PKS) seluruh negara yang menyertai forum sama pada tahun lalu. – UTUSAN ONLINE

 

Sumber : http://www.utusan.com.my/berita/nasional/malaysia-sasar-pembekal-produk-halal-sukan-olimpik-tokyo-2020-1.552400

Advertisements
This entry was posted in Usahawan and tagged . Bookmark the permalink.