Mahu derma organ

Sebahagian daripada pelajar UniKL yang mendaftar sebagai pengikrar derma organ.

IPOH – Rata-rata pengikrar derma organ berhasrat meneruskan niat murni itu mempunyai latar belakang ahli keluarga yang mempunyai sakit kronik.

Salah seorang pengikrar, Nur Qhuzatul Afiqah Mohd Fauzi, 18, yakin niatnya itu mampu membantu orang lain yang memerlukan.

Menurutnya, tanggungjawab itu sepatutnya menjadi kesedaran kepada semua orang kerana bilangan pesakit yang menunggu transplant agak ramai berbanding jumlah pengikrar.

“Saya memang dah lama terfikir untuk jadi penderma organ dan hari ini baru berkesempatan mendaftar. Alhamdulillah, saya harap keputusan ini akan disokong keluarga.

“Buat masa ini, saya belum sempat beritahu mereka namun selepas dengar penjelasan dari pakar, saya akan yakinkan mereka tentang hal ini,” katanya.

Pelajar jurusan kejururawatan itu mengakui, ayahnya yang hampir lima tahun menghidap sakit buah pinggang antara sebab dirinya mahu berkorban membantu orang lain.

Niat sama juga dikongsi Noor Adilah Hassan, 18, yang pada mulanya takut, namun mengambil keputusan untuk menjadi pengikrar derma organ.

Katanya, selepas mendengar beberapa sesi ceramah, faham dengan konsepnya dia nekad untuk mendaftar.

“Ayah saya pesakit leukemia sejak tiga tahun lalu dan kini masih dalam rawatan. Saya rasa ini masa terbaik untuk saya menyelamatkan nyawa orang lain.

“Ibu saya tahu tentang hal ini dan dia sangat menyokong. Saya gembira dia bersifat terbuka dalam isu ini,” katanya.

Sementara itu, seramai 200 pelajar Kejururawatan UniKL telah menyertai Kempen Kesedaran Pendermaan Organ di Dewan Besar universiti berkenaan baru-baru.

Selain perkongsian pengalaman dari penderma dan penerima organ, pelajar juga didedahkan dengan penjelasan pendermaan organ dari sudut agama.

 

Sumber : http://www.sinarharian.com.my/kampus/mahu-derma-organ-1.756409

Advertisements
This entry was posted in Pendidikan and tagged . Bookmark the permalink.