Rakan-rakannya semakin kerap datang ke rumah atau menghubungi meminta digunting rambut mereka kerana merasakan hasil khidmatnya lebih kemas, menepati `bojeng’ (gaya rambut) yang dihajati.
Rakan-rakannya itu pula sering memuatkan foto mereka dengan bojeng baharu yang ada kalanya kelihatan unik dalam laman sosial turut menarik perhatian ramai, dan kebanyakannya bertanyakan hasil khidmat kedai atau salun mana.
Ini tambah meyakinkan Abdul Hafiz Abdullah, 28, bahawa minatnya sejak kecil dan berterusan sehingga dewasa boleh dikembangkan dengan menjalankan perkhidmatan gunting rambut secara komersial dan kelihatan profesional.
Dia tidak perlu lagi melakukan secara sambilan di bawah pokok dan di tepi rumah tetapi membuka sebuah kedai gunting rambut berkonsep moden yang selesa, dengan khidmat pelbagai gaya potongan dalam satu-satu masa.
“Saya juga tidak perlu lagi tercari-cari kerja dan berjauhan dengan emak yang diserang strok. Dua tahun saya mengintai premis yang sesuai dan strategik untuk disewa di bandar Kuala Berang.
“Kalau ada pun sewaannya agak tinggi dan rasa berat bagi saya yang baharu hendak bernafas. Sehinggalah saya tengok iklan tawaran sewa premis Arked MARA yang sewanya cuma RM150.
“Selepas mendapat kelulusan tidak lama selepas permohonan dibuat pada Julai 2014, saya membelanjakan wang simpanan RM9,000 untuk mengubahsuai ruang agak kecil itu dan menyediakan kelengkapan termasuk sebuah kerusi, penghawa dingin di samping dekorasi.
Abdul Hafiz memiliki Diploma Kejuruteraan Elektronik dari Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin, Dungun selain sijil Kemahiran Malaysia Tahap 3 dalam bidang Pegawai Latihan Vokasional.
Anak muda yang berasal dari Kampung Pueh, kira-kira lapan kilometer dari Kuala Berang itu, akhirnya terjun ke dalam bidang di luar daripada ilmu yang ditimba.
Namun dia menggambarkan ilmu dan kemahiran yang diperoleh semasa pengajian menjadi bekal untuk dia mula mencorakkan bentuk premis dan perniagaan gaya baharu yang mempunyai potensi besar ini dengan kudrat sendiri.
Dia tidak mengikuti sebarang kursus kemahiran dalam bidang ini, tetapi daripada perkongsian pengalaman yang panjang dan pengamatan termasuk bagaimana menyesuaikan gaya rambut dengan bentuk muka dan usia.
“Saya juga mengikuti gaya rambut semasa golongan muda di negara ini, selain reka corak sendiri yang bersesuaian dengan masyarakat kita,” ujarnya.
Dinamakan Apih Barbershop, dia pada awalnya bersendirian menjalankan khidmat itu sehingga larut malam dengan tekad untuk mengumpulkan modal yang lebih banyak bagi memenuhi impian yang lebih besar.
Kemunculan Apih Barbershop bagaikan menjadi satu pengenalan baharu bagi wajah sesebuah kedai gunting di sekitar Kuala Berang.
Melihat kepada sambutan ramai terhadap Apih Barbershop dan komitmen pemuda yang masih bujang itu, setahun kemudian, Mara menawarkan pinjaman mudah tanpa faedah sebanyak RM10,000 baginya mengembangkan perniagaan di samping membimbingnya dalam aspek pengurusan perniagaan termasuk secara dalam talian.
“Kesediaan MARA yang terus membantu telah meningkatkan keyakinan dan membolehkan saya menambahkan dua lagi kerusi dan mengambil dua pelatih untuk saya bimbing serta meningkatkan jualan minyak rambut.

Abdul Hafiz Abdullah sewaktu menerima Anugerah Penyewa Terbaik pada Majlis Anugerah Usahawan MARA (AURA) 2016 daripada Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Kuala Lumpur.
“Bagi memenuhi keperluan, saya membuka satu lagi kedai gunting dalam kontena yang diubahsuai sendiri melibatkan kos RM47,000 yang dinamakan Barberia, dengan menyewa tapak di lobi Arked MARA mulai awal tahun ini.
“Kedai baharu ini boleh menampung pelanggan kira-kira 100 orang sehari dengan khidmat tiga tukang gunting dan seorang kerani kewangan,” ujar Hafiz yang merupakan salah seorang penerima Anugerah Usahawan MARA 2016.
Beliau berhasrat untuk terus menambahkan rantaian perniagaan ini sekali gus membantu memberikan pengalaman serta membimbing anak muda yang berminat terutama dari keluarga miskin.
“Mereka yang bersama saya, diharap kelak dapat membuka kedai gunting di kampung masing-masing bagi membantu keluarga sebagaimana MARA gigih berusaha membantu usahawan Melayu.
“Saya merasa sangat terhutang budi. Saya tidak akan sia-siakan kepercayaan ini, sekurang-kurangnya saya menghargai dengan membayar sewa dan pinjaman mengikut masa yang ditetapkan selain yang akan terus berusaha untuk lebih berjaya,” ujarnya mengakhiri perbualan.
Sumber : http://www.utusan.com.my/bisnes/usahawan/apih-barbershop-azam-balas-bantuan-mara-1.465044