MRSM komited objektif penubuhan buat Bumiputera berpendapatan rendah – Ansara

KAMARUL : Persepsi negatif terhadap MRSM bakal mengundang keresahan masyarakat terutama golongan bumiputera berpendapatan rendah. – Gambar fail

KUALA LUMPUR: Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) kekal relevan khususnya dalam menyediakan kemudahan pendidikan kepada Bumiputera yang berpendapatan rendah, selain berpegang pada objektif melahirkan pelajar terbaik kepada negara ini.

Presiden Persatuan Bekas Pelajar MRSM Se-Malaysia (Ansara) Datuk Kamarul Redzuan Muhamed berkata, semenjak ia ditubuhkan pada 1972, graduan MRSM sehingga 2016 mencecah 212,000 orang.

“MRSM masih kekal dengan objektif asal ketika penubuhannya iaitu menambah bilangan Bumiputera profesional yang mampu bersaing dalam bidang sains, teknologi dan keusahawanan.

“MRSM telah dikhususkan kepada golongan kurang berkemampuan dan dari luar bandar sejajar dengan keperluan Akta Majlis Amanah Rakyat Bil. 20 tahun 1966 yang menjadikan MRSM sebagai usaha MARA untuk mencapai matlamat di dalam bidang latihan dan pendidikan,” katanya kepada Astro AWANI di sini hari ini.

Kamarul berkata demikian ketika mengulas khabar angin di media sosial yang mengatakan MRSM tidak lagi memfokuskan objektif asal penubuhan khususnya mengenai pengambilan pelajar Bumiputera dari keluarga berpendapatan rendah.

Jelasnya, setelah 47 tahun penubuhan MRSM, perbezaan demografi, peratus kemiskinan di luar bandar dan bandar memungkinkan pelajar di bandar diambil kira untuk kemasukan pelajar ke di dalam 53 MRSM seluruh negara.

“Juga diambil kira adalah golongan berpendapatan rendah dan miskin tegar tidak lagi berada di dalam kelompok ekonomi yang sama.

“Penambahan bilangan Sekolah Berasrama Penuh (SBP) sebagai alternatif selain daripada MRSM bagi pengambilan pelajar dari golongan sasar juga membolehkan pelajar dari bandar memasuki MRSM,” ujarnya,

Kamarul yang melalui sistem pendidikan yang berprestij itu pada tahun 1985 menambah, Ansara akan berkerjasama dengan Majlis Amanah Rakyat (Mara) melalui pelbagai cara bagi mengenal pasti ketepatan maklumat tidak benar yang tersebar di media sosial menganai MRSM.

“Persepsi negatif terhadap MRSM bakal mengundang keresahan masyarakat terutama golongan bumiputera berpendapatan rendah.

“Saya yakin kemampuan MRSM melahirkan lebih ramai golongan profesional bumiputera di negara ini bagi meneruskan agenda pembangunan negara,” katanya.

 

Sumber : http://www.astroawani.com/berita-malaysia/mrsm-komited-objektif-penubuhan-buat-bumiputera-berpendapatan-rendah-ansara-159766

Advertisements
This entry was posted in Pendidikan and tagged . Bookmark the permalink.