KUALA LUMPUR – Majlis Amanah Rakyat (Mara) sentiasa memastikan pelajar cemerlang berlatarbelakangkan keluarga berpendapatan rendah (B40) dan berpendapatan pertengahan (M40) terutamanya dari luar bandar diberi keutamaan untuk mendapat pendidikan menengah terbaik di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM).
Ketua Pengarah MARA, Datuk Azhar Abdul Manaf berkata, ia selaras dengan dasar penubuhan MRSM untuk memberi peluang kepada pelajar Bumiputera bandar dan luar bandar yang cemerlang untuk mendapat pendidikan yang berkualiti.
“Sistem pendidikan Mara memberi penekanan terhadap STEM (Science, Technology, Engineering dan Mathematics) dengan memberi keutamaan kepada pelajar yang datang dari keluarga berpendapatan rendah selari dengan hasrat penubuhan asalnya.
“Walaupun kaedah permohonan pelajar ke MRSM menggunakan sistem dalam talian, pihak Mara sejak dahulu lagi sentiasa membantu proses permohonan dan pengambilan pelajar terutamanya bagi para pelajar di luar bandar dan tinggal di kawasan pedalaman,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata demikian berikutan dakwaan pihak tertentu tentang pengambilan masuk kebanyakan pelajar ke MRSM bukan daripada golongan berpendapatan rendah dan luar bandar.
Menyanggah dakwaan tersebut, beliau menegaskan, pihaknya sentiasa berusaha menarik pelajar daripada luar bandar untuk melanjutkan pelajaran ke MRSM.
“Mara menajalankan program outreach bersama sekolah-sekolah di luar bandar di mana Pejabat Mara Daerah seluruh negara dengan kerjasama kaunselor sekolah akan mencari pelajar yang layak diberi keutamaan ke MRSM.
“Setiap MRSM mengadakan program outreach dengan sekurang-kurangnya lima buah sekolah harian berdekatan untuk mengenalpasti calon-calon dari kumpulan B40 yang layak dan berminat untuk melanjutkan pelajaran ke MRSM . Pelajar di bawah program outreach dikumpul dan dibantu untuk membuat permohonan online di MRSM atau Pusat Pentadbiran MARA berdekatan.
Menurut beliau lagi, hanya 37 peratus pelajar terdiri daripada masyarakat bandar yang melanjutkan pelajaran di MRSM, manakala 63 peratus lagi dimonopoli oleh pelajar luar bandar.
“Jumlah keseluruhan 37,752 orang pelajar MRSM sedia ada, pelajar daripada luar bandar adalah berjumlah 23,628 manakala pelajar bandar adalah 14,124 orang sahaja.
“Sementara itu, jumlah pelajar MRSM dari kalangan B40 adalah seramai 20,011 orang manakala pelajar dari golongan M40 pula adalah seramai 12,725 orang, menjadikan jumlah peratusan pelajar dari kedua-dua kumpulan ini adalah seramai 86 peratus.
Justeru itu, dakwaan yang mengatakan bahawa MRSM tidak mengutamakan pelajar dari keluarga berpendapatan rendah dan luar bandar serta lari dari matlamat penubuhan asal adalah tidak tepat.
Sumber : http://www.sinarharian.com.my/nasional/mara-sanggah-dakwaan-pelajar-bandar-monopoli-mrsm-1.752454