Kuala Lumpur, 4 November – Berikutan dakwaan pihak tertentu tentang pengambilan masuk ramai pelajar bukan dari golongan berpendapatan rendah dan luar bandar ke Maktab Rendah Sains MARA (MRSM), Majlis Amanah Rakyat (MARA) ingin menegaskan bahawa MARA sentiasa memastikan para pelajar cemerlang berlatarbelakangkan keluarga berpendapatan rendah (B40) dan berpendapatan pertengahan (M40) terutamanya dari luar bandar diberi keutamaan untuk mendapat pendidikan menengah terbaik di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM).
Menurut Ketua Pengarah MARA, Dato’ Azhar Bin Abdul Manaf, penekanan ini adalah selaras dengan dasar penubuhan MRSM untuk memberi peluang kepada pelajar Bumiputera bandar dan luar bandar yang cemerlang untuk mendapat pendidikan yang berkualiti. Sistem pendidikan MARA memberi penekanan terhadap STEM (Science, Technology, Engineering dan Mathematics) dengan memberi keutamaan kepada pelajar yang datang dari keluarga berpendapatan rendah selari dengan hasrat penubuhan asalnya.
Beliau menambah, walaupun kaedah permohonan pelajar ke MRSM adalah menggunakan sistem online, pihak MARA sejak dahulu lagi sentiasa membantu proses permohonan dan pengambilan pelajar terutamanya bagi para pelajar di luar bandar dan tinggal di kawasan pedalaman. Antara usaha yang dilaksanakan adalah:
a. MARA menajalankan program outreach bersama sekolah-sekolah di luar bandar di mana Pejabat MARA Daerah seluruh negara dengan kerjasama kaunselor sekolah akan mencari pelajar yang layak diberi keutamaan ke MRSM.
b. Setiap MRSM mengadakan program outreach dengan sekurang-kurangnya 5 buah sekolah harian berdekatan untuk mengenalpasti calon-calon dari kumpulan B40 yang layak dan berminat untuk melanjutkan pelajaran ke MRSM .
c. Pelajar di bawah program outreach dikumpul dan dibantu untuk membuat permohonan online di MRSM atau Pusat Pentadbiran MARA berdekatan.
d. Disamping itu, pengiraan merit berdasarkan status sosio-ekonomi (SES) bagi pelajar B40 telah dinaikkan bagi membolehkan mereka mendapat markah pemberat (weightage) yang lebih tinggi untuk meningkatkan lagi peluang bagi mendapat tawaran ke MRSM.
e. MARA turut menjalankan kerjasama dengan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) dan Pejabat Agama Negeri untuk mengenal pasti anak orang asli dan asnaf yang berkelayakan ke MRSM.
f. Bagi Negeri Sarawak & Sabah, program outreach turut dilaksanakan di kawasan pedalaman untuk mengenalpasti pelajar yang berpotensi dan seterusnya dibantu untuk membuat permohonan ke MRSM. Program outreach di kawasan pendalaman ini bukan
sahaja disertai oleh guru-guru MRSM, malah turut dibantu oleh para Pegawai MARA Daerah di seluruh negara.
g. MARA turut memperuntukkan Skim Budi yang mana para pelajar yang berasal dari keluarga berpendapatan rendah diberi bantuan dan tajaan daripada MARA dan juga pihak luar termasuklah badan korporat.
Beliau menegaskan dari jumlah keseluruhan 37,752 orang pelajar MRSM sedia ada, pelajar dari luar bandar adalah berjumlah 23,628 (63%) manakala pelajar bandar adalah 14,124 orang iaitu hanya sekitar 37% sahaja.
Sementara itu, jumlah pelajar MRSM dari kalangan B40 adalah seramai 20,011 orang manakala pelajar dari golongan M40 pula adalah seramai 12,725 orang, menjadikan jumlah peratusan pelajar dari kedua-dua kumpulan ini adalah seramai 86%.
Justeru itu, dakwaan yang mengatakan bahawa MRSM tidak mengutamakan pelajar dari keluarga berpendapatan rendah dan luar bandar serta lari dari matlamat penubuhan asal
adalah tidak tepat.